LUMUT: Sebahagian pengusaha hotel dan resort di Pulau Pangkor masih ragu-ragu untuk menerima pengunjung sekarang walaupun pelancongan untuk penerima dua dos vaksin Covid-19 dibenarkan bermula kelmarin.
Pengerusi Persatuan Pembangunan Hotel dan Resort Pulau Pangkor, Mohd. Zamzuri Suid berkata, walaupun sudah mulai menerima tempahan selepas kebenaran itu diberikan, pihaknya masih belum bersedia untuk memenuhi permintaan itu.
“Kita tunggu dulu pembukaan sementara. Bulan September ini apabila penduduk Pulau Pangkor mencapai imuniti kelompok, kita bincang semula.
“Kena pastikan kebanyakan staf resort, pemandu teksi, restoran, penjaja, petugas rekreasi air sudah melepasi dua minggu dos kedua vaksin.
“Pastikan warga Pangkor sudah vaksin dua dos sekurang-kurangnya 70 peratus daripada populasi baru pelancongan dibuka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau mengulas pengumuman kerajaan baru-baru ini yang membenarkan sektor pelancongan tempatan termasuk penginapan di hotel dan inap desa, dibuka untuk kunjungan penerima dua dos vaksin Covid-19.
Sebelum itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mengumumkan Pulau Pangkor dipilih destinasi bebas Covid-19 bagi fasa kedua dengan jangkaan penduduk pulau tersebut mencapai imuniti kelompok awal bulan depan. – UTUSAN ONLINE