Harga kit ujian kendiri Covid-19 RM35 hingga RM39.90 terlalu mahal - Utusan Malaysia

Harga kit ujian kendiri Covid-19 RM35 hingga RM39.90 terlalu mahal

MOHD. Ali Mohd. Rustam (tengah) bertanyakan sesuatu kepada salah seorang penerima vaksin di PPVIN menerusi Rivac di Dataran Pahlawan Melaka Megamall, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan akan menetapkan harga siling kit ujian kendiri Covid-19 lebih rendah daripada harga semasa bermula bulan depan.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, pihaknya kini di peringkat akhir mengumpul maklumat daripada 10 syarikat yang telah diberi kebenaran untuk menjual dan mengedar kit tersebut dan dijangka siap hujung bulan ini.

Menurutnya, kajian terhadap penetapan harga siling tersebut dibuat setelah kerajaan menerima banyak rungutan serta desakan yang menyifatkan harga RM35 hingga RM39.90 adalah terlalu mahal.

“Selepas mendapat maklumat tersebut, barulah kita dapat tentukan apakah harga yang munasabah untuk ditetapkan jika kerajaan membuat keputusan mengawal harga kit tersebut.

“Kementerian tidak boleh sewenang-wenangnya menetapkan satu harga, yang mana mungkin mendatangkan risiko memandangkan kit-kit tersebut kebanyakannya diimport dari luar negara.

“Kita tidak mahu harga yang ditetapkan bakal merugikan syarikat terbabit dan ini akan memberi kesan bekalan tidak mencukupi di pasaran untuk menampung permintaan, jika pengimport tidak
boleh membawa masuk kit-kit tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengiringi Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam melawat dan meninjau Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) menerusi Program Vaksinasi Industri Peruncitan (Rivac) di Dataran Pahlawan Melaka Megamall di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Ismail Othman dan Pengarah KPDNHEP negeri, Norena Jaafar.

Mengulas lanjut, Hasnol Zam Zam berkata, pihaknya akan melengkapkan pengumpulan maklumat sebelum perkara tersebut mendapat nasihat dan diputuskan kerajaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Memandangkan kit tersebut mendapat permintaan yang tinggi sewajarnya harga yang berada di pasaran dapat diturunkan lebih rendah agar semua rakyat dapat membelinya dengan murah.

“Harga yang akan diputuskan tidak lama lagi itu bakal mengikut kaedah seperti mana harga pelitup muka, ditetapkan daripada RM1.50 dan kemudian diturunkan kepada RM1.20 seunit,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN