GEORGETOWN: Sebanyak empat buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam di negeri ini akan ditutup esok berikutan terdapat gangguan pembekalan vaksin Pfizer ke Pulau Pinang bermula Khamis lalu.
PPV awam terlibat adalah Kompleks Sukan Balik Pulau di daerah Barat Daya; Dewan Balai Rakyat Bayan Baru (Barat Daya); Tapak Pesta di Sungai Dua (Timur Laut) dan Dewan Millenium (Seberang Perai Utara).
Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) menerusi kenyataan menerusi laman sosial Facebook malam ini memaklumkan, kesemua PPV awam itu bagaimanapun akan beroperasi semula Isnin ini.
“Susulan gangguan bekalan vaksin Pfizer, penerima dos dua vaksin Pfizer yang telah dijadualkan pada esok (15 Ogos) hingga 19 Ogos akan dipinda ke 22 hingga 26 Ogos ini.
“Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa menyemak tarikh penjadualan dos dua pada aplikasi MySejahtera masing-masing,” katanya. – UTUSAN










