PETALING JAYA: Gangguan bekalan resin akibat konflik Asia Barat memberi kesan ketara kepada 13 sektor industri utama yang bergantung kepada plastik sebagai bahan input huluan.
Antara sektor yang paling terjejas adalah melibatkan pembungkusan makanan dan minuman; farmaseutikal dan peranti perubatan, elektrik dan elektronik (E&E) selain pergudangan serta logistik.
Turut terjejas adalah sektor pembungkusan perindustrian; automotif; industri pembinaan; industri kimia, industri pakaian, industri pertanian, industri perikanan, pusat data dan industri telekomunikasi.
Presiden Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA), Cheah Chee Choon berkata, gangguan bekalan resin tersebut membawa kepada kelewatan pengeluaran, kenaikan kos serta kemungkinan berlakunya kekurangan barangan keperluan.
“Kesan konflik Asia Barat terhadap bekalan resin di Malaysia adalah amat ketara dan berlapis-lapis, melibatkan sektor import global bagi semua jenis bahan mentah seperti resin plastik dan pelarut serta pengeluaran domestik produk plastik.
“Di peringkat global, konflik ini telah mengganggu aliran minyak mentah dan bahan suapan (bahan mentah) petrokimia melalui laluan utama seperti Selat Hormuz yang membawa kepada kekurangan bahan suapan untuk pengeluaran resin di negara-negara Asia Pasifik termasuk Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam akhbar ini melaporkan, Malaysia kini berdepan gangguan bekalan plastik susulan konflik Asia Barat yang menjejaskan rantaian petrokimia dan menyukarkan pengilang mendapatkan bahan pembungkusan.
Konflik sejak Februari lalu itu telah mengganggu bekalan petrokimia dan menyebabkan kekurangan resin polyethylene terephthalate (PET) iaitu bahan penting untuk membuat botol plastik dan bekas makanan.
Keadaan itu mula dirasai pengguna apabila beberapa produk minuman semakin sukar didapati di pasaran selepas pengeluar mengakui berdepan kesukaran mendapatkan bekalan plastik.
Chee Choon dalam pada itu berkata, di peringkat domestik pula, dua pengeluar utama negara iaitu Lotte Chemical Titan dan Petronas Chemicals Group Berhad turut berhadapan dengan kekangan.
“Lotte Chemical Titan telah mengeluarkan notis kemungkinan force majeure (keadaan luar jangka) yang menjejaskan keupayaan membekalkan resin.
“Manakala, Petronas Chemicals sedang menjalani kerja-kerja penyelenggaraan besar-besaran di kemudahan Kerteh serta berdepan cabaran operasi berterusan di Pengerang, Johor.
“Keadaan itu menyebabkan kedua-dua bekalan resin import dan pengeluaran tempatan kini terhad sekali gus mencetuskan krisis bekalan yang teruk kepada pengilang,” katanya.
Mengulas jangkaan tempoh pemulihan, Chee Choon berkata, walaupun konflik mereda dalam jangka masa terdekat, pemulihan tidak akan berlaku serta-merta.
“Ini kerana kerosakan pada infrastruktur huluan seperti kilang penapisan, loji petrokimia, saluran paip, tangki penyimpanan dan kemudahan pelabuhan akan mengambil masa untuk dibaiki.
“Malah, pengeluar juga memerlukan masa tambahan untuk memulakan semula serta menstabilkan operasi.
Tambah beliau, pada masa sama, bekalan bahan suapan (bahan mentah) global dijangka kekal terhad sekali gus menyebabkan ketidaktentuan berterusan dalam jangka masa terdekat hingga sederhana.
“Pemulihan penuh mungkin mengambil masa berbulan-bulan atau lebih lama bergantung kepada keadaan bekalan global,” katanya lagi.-UTUSAN.










