Kita jaga pekerja, mereka sayang syarikat - Christy Ng

Kita jaga pekerja, mereka sayang syarikat – Christy Ng

CHRISTY menekankan jaga kebajikan pekerja selari dengan usaha tingkatkan keuntungan syarikat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Christy Ng kini berdiri sebagai antara jenama tempatan yang cukup kukuh dan dikenali dalam industri fesyen Malaysia. Setiap produk yang dilancarkan bukan sahaja mencuri perhatian, malah menerima sambutan jualan yang sangat memberangsangkan daripada para pelanggan.

Namun, jenama itu tidak berdiri sendiri, ia dibina dengan semangat, tenaga dan pengorbanan dalam memastikan jenama itu terus kekal relevan dalam industri.

Pengasasnya, Christy mengakui perjalanannya dalam bidang ini bukanlah mudah seperti yang disangka, keringat dan usaha yang dicurahkan untuk syarikat itu kini semakin membuahkan hasil.

Sehubungan itu, beliau amat menitikberatkan kebajikan pekerjanya dalam memastikan syarikat yang dibinanya itu terus ‘menjemput rezeki dan kejayaan’.

PEKERJA ITU ASET

Beliau berkata, pekerja merupakan aset paling penting dalam sesebuah syarikat selain bukan sekadar tenaga kerja yang boleh diganti sesuka hati.

Menggunakan analogi mudah, Christy menggambarkan para pekerjanya seperti sebuah rumah yang dibeli.

“Jika kita membeli rumah, kita akan melindunginya dengan insurans kerana kita tahu ia bernilai dan berisiko terdedah kepada pelbagai bahaya. Prinsip yang sama diaplikasikan kepada pekerja.

“Dalam konteks perniagaan, aset bukan hanya bangunan atau stok, tetapi juga manusia yang bekerja setiap hari untuk memastikan operasi berjalan lancar. Tanpa mereka, segala perancangan hanya tinggal di atas kertas,” katanya kepada Seri.

Justeru itu, bagi Christy, menjaga kebajikan pekerja bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan yang tidak boleh diabaikan. Ia melibatkan langkah-langkah proaktif untuk melindungi mereka daripada risiko yang tidak dijangka.

Katanya, antara contoh paling nyata ialah penyediaan insurans untuk pekerja. Ini mungkin kelihatan seperti kos tambahan pada awalnya, tetapi sebenarnya ia adalah satu pelaburan yang bijak.

Beliau bercerita, seorang pekerjanya pernah dimasukkan ke hospital selama dua minggu dengan kos rawatan mencecah hampir RM46,000.

“Jika fikir logik, jumlah itu bukan kecil, malah boleh memberi kesan besar kepada kewangan syarikat.

“Namun kerana syarikat telah menyediakan perlindungan insurans, kos tersebut dapat ditanggung tanpa menjejaskan operasi. Ini menunjukkan bagaimana langkah awal mampu mengelakkan beban yang lebih besar di kemudian hari.

“Pendekatan ini secara tidak langsung membuktikan menjaga kebajikan pekerja sebenarnya selari dengan usaha untuk melindungi keuntungan syarikat,” katanya.

LAYAN PEKERJA SAMA RATA

Perbualan kemudian beralih kepada satu topik yang sering menjadi perdebatan iaitu pengurusan pekerja generasi muda, khususnya Gen Z. Ramai yang beranggapan generasi ini sukar dikendalikan dan mudah tersinggung.

Namun pandangan tersebut tidak dipersetujui sepenuhnya oleh Christy. Katanya, isu sebenar bukan terletak pada generasi, tetapi pada personaliti individu itu sendiri.

“Ada pekerja yang mudah marah apabila ditegur, tetapi perkara itu tidak terhad kepada Gen Z sahaja. Malah, pekerja yang lebih berusia juga boleh menunjukkan reaksi yang sama jika tidak matang.

“Ini membawa kepada satu kesimpulan penting kematangan emosi atau pemikiran memainkan peranan yang lebih besar daripada faktor usia,” katanya.

Jelas Christy, dalam setiap organisasi, perlu ada golongan pekerja yang boleh menerima teguran dan terus bekerja tanpa drama yang tidak perlu.

BIJAK PILIH PEKERJA

Beliau menyatakan sesebuah syarikat yang kukuh memerlukan pekerja yang bukan sahaja mahir mengurus emosi, malah sentiasa peka dan memahami skop tugasan masing-masing.

Katanya, keadaan ini bukan berlaku secara kebetulan, tetapi hasil daripada proses pengambilan pekerja yang sangat teliti. Mereka tidak mengambil mudah soal pemilihan calon.

“Antara kriteria utama ialah kestabilan dalam pekerjaan. Calon yang kerap bertukar kerja dalam tempoh singkat biasanya tidak akan dipilih kerana ia menunjukkan kurang komitmen.

“Selain itu, semakan rujukan daripada majikan terdahulu juga menjadi satu keperluan. Ini membantu memastikan calon yang dipilih benar-benar sesuai dengan budaya syarikat.

“Proses ini mungkin mengambil masa dan tenaga, tetapi hasilnya sangat berbaloi. Ia mengelakkan masalah disiplin dan konflik dalaman yang boleh menjejaskan operasi,” katanya.

Christy memberitahu, pendekatan ini juga membantu mengelakkan situasi di mana pekerja menjadi terlalu selesa hingga melampaui batas profesionalisme.

Ujar beliau, pekerja yang matang akan tahu membezakan antara suasana santai dan tanggungjawab kerja. Mereka tidak akan mengambil kesempatan hanya kerana majikan bersikap baik.

Sebaliknya, individu yang tidak matang cenderung untuk menyalahgunakan kebaikan tersebut. Inilah sebabnya pemilihan awal sangat penting.

TERIMA RIBUAN PERMOHONAN KERJA

Dengan jenama yang semakin kukuh dan meluas, pasti ramai yang mengimpikan untuk bekerja di Christy Ng.

Susulan itu, Christy berkongsi dia pernah berdepan satu situasi apabila terdapat calon yang menghantar emel berulang kali dalam pelbagai bahasa yang tidak difahami.

“Apabila melalui proses penilaian awal, jelas terdapat sesuatu yang tidak kena, dan keputusan diambil untuk tidak meneruskan pengambilan,” katanya.

Christy turut memaklumkan syarikatnya menerima ribuan permohonan kerja setiap hari dan perkara tersebut dipandang serius serta tidak diambil ringan.

Walaupun ada pihak yang mengkritik kaedah manual dalam menapis resume, pendekatan ini dipertahankan kerana ia lebih teliti dan berperikemanusiaan.

Kata Christy, menggunakan mata sendiri untuk menilai calon adalah lebih adil berbanding menyerahkan sepenuhnya kepada sistem automatik.

“Ini juga menunjukkan dalam dunia yang semakin bergantung kepada teknologi, sentuhan manusia masih mempunyai nilai yang tinggi,” katanya.

CABARAN SEMASA

Perbualan menjadi lebih menarik apabila menyentuh tentang cabaran ekonomi semasa, termasuk kenaikan kos operasi akibat harga minyak dan faktor global lain.

Dalam situasi seperti ini, banyak syarikat terpaksa membuat keputusan sukar seperti mengurangkan manfaat pekerja atau memotong gaji.

Namun bagi syarikat yang mempunyai asas yang kukuh, langkah-langkah drastik seperti ini tidak perlu diambil.

Menurut Christy, kekuatan sesebuah syarikat terletak pada ‘fundamental’ atau asasnya yang banyak bergantung kepada kualiti tenaga kerja.

Katanya, pasukan yang terdiri daripada individu yang bijak dan mampu menyelesaikan masalah akan membantu syarikat kekal stabil walaupun dalam keadaan mencabar.

“Ini terbukti ketika pandemik Covid-19 sebelum ini, walaupun operasi fizikal terpaksa dihentikan, perniagaan masih mampu berkembang melalui platform dalam talian.

“Malah, terdapat peningkatan jualan yang sangat ketara, membuktikan krisis juga boleh menjadi peluang jika dilihat dari sudut yang betul.

“Pemikiran positif dan keupayaan menyesuaikan diri menjadi kunci utama dalam menghadapi perubahan,” katanya.

Selain aspek pengurusan, Christy juga menyatakan impiannya untuk mengembangkan sayap perniagaannya ke peringkat yang lebih luas.

LEBAR SAYAP PERNIAGAAN

Kini, jenama yang diasaskan oleh Christy Ng bukan sahaja kukuh di Malaysia, malah berjaya melebarkan sayap ke Indonesia dan Filipina dengan prestasi yang sangat memberangsangkan.

Christy memberitahu, di Indonesia, pembukaan beberapa cawangan dalam tempoh singkat menunjukkan penerimaan pasaran yang luar biasa, sehingga jenama ini berjaya berada antara pilihan utama pengguna di sana.

“Begitu juga di Filipina, dalam tempoh kurang setahun, Christy Ng berjaya menempatkan diri sebagai antara pilihan utama rakyat tempatan, sama ada melalui platform e-dagang mahupun pembukaan kedai fizikal.

“Pencapaian ini bukan sesuatu yang berlaku secara kebetulan, tetapi hasil daripada strategi yang kukuh serta sokongan pasukan yang berdedikasi.

“Ia juga membuktikan jenama tempatan mampu bersaing di peringkat antarabangsa jika mempunyai asas yang betul dan visi yang jelas,” katanya.

Dalam masa yang sama, aspek kreatif seperti penghasilan kandungan turut memainkan peranan penting dalam menarik perhatian pelanggan dari pelbagai negara.

Jelas Christy, gabungan elemen hiburan dan pemasaran produk dilakukan dengan bijak, menjadikan kandungan lebih menarik tanpa terlalu memaksa pengguna untuk membeli.

Ujarnya, pasukan kreatif diberi ruang untuk berkarya, menunjukkan kepercayaan terhadap pekerja mampu menghasilkan idea yang segar dan berkesan, sekali gus memberi impak pada produk dihasilkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×