Polis gempur 42 kilang haram, e-waste RM582 juta dirampas

Polis gempur 42 kilang haram, e-waste RM582 juta dirampas

MOHD. Khalid Ismail pada sidang media Op Hazard 3.0 di Menara 1 Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM582 juta nilai rampasan dan sitaan menerusi Op Hazard 3.0 yang dilancarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan 110 serbuan di 11 negeri bagi membanteras kegiatan haram membabitkan sisa elektronik (e-waste).

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, antara dirampas termasuk 6,378 tan sisa e-waste bernilai kira-kira RM455 juta selain produk akhir, barang lusuh dan pelbagai aset lain.

Katanya, hasil risikan mendapati aktiviti penyeludupan dan pemprosesan haram e-waste masih berterusan, termasuk kemasukan kontena secara tidak sah melalui pintu masuk negara didorong oleh permintaan daripada kilang-kilang haram tempatan.

Malah, katanya, pihak polis juga mengesyaki pemain industri dalam pemprosesan e-waste adalah pihak yang sama terlibat dalam aktiviti pemprosesan bahan itu seara haram.

“Sebanyak 223 kes dibuka hasil pemeriksaan itu manakala 515 individu ditahan daripada 868 yang diperiksa.

“Mereka ditahan membabitkan warga tempatan dan pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia antara 16 hingga 70 tahun,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, di sini semalam.

Op Hazard 3.0 dilancarkan Isnin lalu merupakan kesinambungan kepada kejayaan operasi terdahulu yang turut membabitkan kerjasama daripada pelbagai agensi di bawah Kementerian Dalam

Negeri (KDN) termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Pasukan Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF).

Sebanyak 74 kompaun bernilai RM110,700 dikeluarkan manakala tujuh akaun individu dan syarikat dibekukan membabitkan jumlah hampir RM671,000. Sementara itu sebanyak 24 kertas siasatan turut dibuka oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Kesalahan yang dikenal pasti merangkumi pelanggaran undang-undang alam sekitar, operasi premis tanpa lesen, kesalahan imigresen, kawalan bekalan, percukaian serta rasuah dan buruh,” katanya.

Mohd. Khalid berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti haram yang mengancam keselamatan negara, kesihatan awam dan kelestarian alam sekitar.

Katanya, operasi berkenaan berjaya memberi tekanan signifikan kepada sindiket haram serta melumpuhkan rangkaian jenayah terancang melalui tindakan penguatkuasaan menyeluruh, termasuk pembekuan dan penyitaan aset di bawah undang-undang berkaitan pengubahan wang haram.

“Operasi ini juga dilihat meningkatkan tahap integriti dan kerjasama antara agensi selain membantu kerajaan menambah hasil melalui kompaun, cukai dan pelucuthakan aset.

“Orang ramai diseru menjadi ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan haram e-waste,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN