Gagal disamun, paha wanita ditikam penjenayah - Utusan Malaysia

Gagal disamun, paha wanita ditikam penjenayah

KEADAAN paha wanita yang ditikam penjenayah semasa cubaan menyamun di Taman Greenwood, Gombak, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang wanita cedera selepas ditikam di bahagian paha dalam kejadian ragut di Jalan 10, Taman Greenwood, Gombak di sini, petang semalam.

Ia susulan laporan diterima polis pada pukul 4.24 petang daripada orang awam selepas menemukan seorang wanita yang cedera akibat ditikam dalam sebuah kereta di lokasi terbabit.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa sedang memandu bersendirian menggunakan kereta milik abangnya.

Katanya, ketika tiba di tempat kejadian, seorang lelaki membuka pintu kereta dan cuba melarikan beg miliknya.

“Suspek gagal melarikan beg berkenaan dan bertindak menikam paha kanan mangsa sebelum melarikan diri.

“Siasatan awal mendapati mangsa tidak mampu memberi gambaran jelas mengenai lokasi kejadian sebenar kerana kecederaan yang dialaminya,” katanya dalam kenyataan.

Zainal Mohamed berkata, mangsa tidak dapat mengecam muka dan kenderaan digunakan suspek kerana masih dalam keadaan trauma.

Jelasnya, selepas kejadian, mangsa menghubungi abangnya menggunakan telefon memaklumkan kejadian itu.

“Mangsa dibawa ke Bahagian Kecemasan Hospital Selayang dengan ambulans dan kini masih berada di zon merah, namun keadaannya dilaporkan stabil.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan,” katanya.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil membantu siasatan polis.

“Maklumat boleh disalurkan di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Azrul Amirul Mustafa di talian 03-61262222,” katanya. .- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN