Empat remaja jual 250 dokumen MITI, surat majikan ditahan - Utusan Malaysia

Empat remaja jual 250 dokumen MITI, surat majikan ditahan

AYOB Khan Mydin Pitchay menunjukkan suspek yang terlibat dalam sindiket penipuan dan pemalsuan dokumen MITI dan surat majikan pada sidang akhbar di IPK, Johor Bahru di Johor. - UTUSAN/ RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sindiket penipuan dan pemalsuan dokumen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan surat pengesahan majikan yang menggunakan khidmat empat remaja terbongkar setelah mereka ditahan dalam serbuan di sekitar daerah ini, 5 Ogos lalu.

Empat remaja berusia 16 hingga 19 tahun termasuk dua daripadanya perempuan dipercayai menerima upah antara RM50 hingga RM100 bagi setiap dokumen yang berjaya dijual mereka.

Sindiket itu mengambil kesempatan atas keghairahan masyarakat yang ingin merentas negeri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan menjual dokumen itu pada harga RM150.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kegiatan sindiket itu terbongkar setelah aktiviti pengiklanan yang dibuat menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Instagram serta aplikasi WeChat diketahui.

Katanya, berdasarkan maklumat, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor dibantu JSJK Bukit Aman telah menjalankan operasi berasingan antara 8.30 hingga 10 malam bagi menahan empat suspek berkenaan.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan mengiklankan perkhidmatan mereka di media sosial. Sindiket ini turut mengubah suai surat kelulusan MITI sebuah syarikat yang beralamat di Kempas, di sini bagi mengelirukan pihak berkuasa.

“Sindiket ini menjual dokumen MITI dan surat pengesahan majikan yang dipalsukan pada harga RM150. Siasatan lanjut mendapati sindiket ini telah beroperasi sejak Mac dan sudah menjual sebanyak 250 keping ke seluruh negara,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Dalam serbuan yang dijalankan, polis merampas sejumlah telefon bimbit dan kad bank yang digunakan dalam sindiket itu.

Ayob Khan berkata, pemeriksaan lanjut mendapati syarikat berkenaan tidak tahu menahu tentang kegiatan tersebut.

Katanya, polis kini sedang mengesan seorang individu bernama Nicholas Chai Jia Han, 21, bagi membantu siasatan kes sindiket berkenaan.

Tambahnya, alamat terakhir lelaki itu adalah di 49, Jalan Bukit Kontang, Taman Ria, Tangkak, dekat sini.

“Masyarakat yang ingin merentas daerah dan negeri diingatkan supaya membuat permohonan dengan hadir ke balai polis berhampiran dan atas alasan pergerakan munasabah.

“Jangan ambil tindakan mudah dengan membeli dan menggunakan dokumen palsu kerana mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN