KUALA LUMPUR: Syarikat pengurusan acara, Creative Creed Associates (Creative Creed) merancang untuk menjalin kerjasama strategik bersama syarikat terkemuka di Indonesia iaitu GM Production.
Kerjasama bersama syarikat yang menjalankan perniagaan serupa di Indonesia itu merupakan sebahagian daripada langkah pengembangan Creative Creed ke peringkat antarabangsa.
Rancangan kerjasama berkenaan dizahirkan menerusi sesi perbincangan awal yang diadakan pada 17 Disember lalu.
Pengarah Urusan Creative Creed, Syaiful Bakhtiar Salim berkata, perbincangan itu melibatkan pertemuan dua hala bagi meneroka potensi kolaborasi strategik dalam industri pengurusan acara dan kreatif
“Kerjasama strategik itu akan turut memberi manfaat kepada kualiti perkhidmatan kami apabila kedua-dua syarikat ini akan berkongsi pengalaman serta kepakaran masing-masing di antara satu sama lain.
“Dalam industri acara yang semakin mencabar dan kompetitif, keupayaan untuk berkongsi kepakaran, idea kreatif serta pendekatan pengurusan yang berkesan adalah amat penting.
“Kerjasama ini diharap dapat menggabungkan kekuatan Creative Creed dan GM Production bagi menghasilkan pengalaman acara yang lebih inovatif, berkualiti dan bernilai tinggi kepada klien kami,” katanya.
Syaiful Bakhtiar berkata, peluang untuk menguruskan acara di lokasi antarabangsa termasuk di Osaka, Jepun tahun ini telah membuka mata mereka untuk ke peringkat antarabangsa.
“Pada 2026, kami fokus untuk meneroka pasaran antarabangsa dalam perniagaan pengurusan acara. Selepas beroperasi lebih daripada 10 tahun di pasaran tempatan, saya yakin kami mampu untuk mengembangkan lagi pasaran kami dengan sasaran baharu ini,” katanya. – UTUSAN










