Akmal gesa UMNO tarik sokongan Kerajaan Perpaduan

Akmal gesa UMNO tarik sokongan Kerajaan Perpaduan

MUHAMAD AKMAL SALEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO digesa menarik semula sokongan daripada Kerajaan Perpaduan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan Titah Adendum yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani tahanan di rumah sebagai tidak sah. 

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, tindakan itu lebih baik untuk UMNO menjadi pembangkang bermaruah daripada dihina `puak-puak bebal.’

“Apa lagi yang perlu kita tunggu? Tarik sahaja sokongan daripada kerajaan ini. Biar kita jadi pembangkang yang bermaruah daripada dihina `puak-puak bebal’ ini (dipercayai merujuk DAP). 

“Saya minta semua perwakilan yang akan datang ke PAU (Perhimpunan Agung UMNO) tidak lama lagi, senada dan berani bawa suara rakyat dan akar umbi orang Melayu di bawah ini.  

“Biar PAU kali ini sekali lagi digegarkan dengan menjadi medan suara keramat orang Melayu. Jangan takut,jangan gentar!” katanya menerusi hantaran dalam Facebook, hari ini. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu memuat naik hantaran dan turut berkongsi hantaran Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, yang menyatakan ‘satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini’, berserta berita mengenai Najib. 

Mahkamah Tinggi memutuskan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024 yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah adalah tidak sah.

Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh membuat keputusan pengampunan secara bersendirian dan pelaksanaan prerogatif pengampunan mesti dibuat melalui Mesyuarat Lembaga Pengampunan selaras Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah turut memutuskan Titah Adendum itu tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61.

Susulan keputusan itu, Najib akan terus menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sehingga tamat tempoh hukumannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN