Persatuan p-hailing, e-hailing tuntut penjelasan isu 'bidding'

Persatuan p-hailing, e-hailing tuntut penjelasan isu ‘bidding’

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 40,000 ahli rakan penghantar p-hailing dan pemandu e-hailing masih menunggu penjelasan kerajaan berhubung penawaran perkhidmatan e-hailing menggunakan konsep tawar menawar (bidding) yang bercanggah dengan perundangan negara.

Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) berkata, perkara itu telah dibawa semasa sesi libat urus antara Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bersama beberapa persatuan pada 17 November lalu.

Menurutnya, meskipun Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook pernah mengesahkan konsep bidding itu tidak sah namun syarikat e-hailing masih lagi menawarkannya sekali gus menunjukkan dasar ‘flip-flop’ (sering beubah) kerajaan dalam isu tersebut.

“Kewujudan syarikat bidding itu memberi impak negatif kepada pemandu e-hailing berikutan ketiadaan harga lantai yang munasabah biarpun kerajaan berulang kali, terutama ketika berusaha mendapatkan sokongan bagi Akta Pekerja Gig kononnya menjadi wira kepada pekerja gig di seluruh negara.

“Apa yang kami lihat, kerajaan akhirnya akur kepada syarikat e-hailing bidding dan melupakan segala gimik ketika meraih sokongan pemandu e-hailing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu turut dikeluarkan bersama enam persatuan berkaitan e-hailing dan p-hailing lain iaitu  Pertubuhan Lestari Ekonomi Aktivis GiG Digital Malaysia (Lead), Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia (PPRPM), Pertubuhan Tenaga GiG Melaka (Tenaga GiG), Persatuan Rakan Penghantar Melaka (RPM), Persatuan Penghantar Dan Penghantar e-Hailing Sabah, Persatuan Kebajikan Perkhidmatan Penghantar Bermotosikal Perak serta Persatuan Rakan Penghantar Kedah.

Tambah kenyataan itu, apabila bidding dibenarkan di negara ini, syarikat-syarikat lain terpaksa bersaing menurunkan harga tambang hingga menyebabkan pemandu e-hailing secara keseluruhan menerima kesan.

Menurutnya, persaingan dalam industri sememangnya dijadikan alasan sebagai menguntungkan pengguna, namun kerajaan perlu melihat kesan terhadap pemandu e-hailing.

“Tiada keseimbangan dalam polisi kerajaan bagi memastikan pengguna serta pemandu e-hailing menerima manfaat yang munasabah terutamanya ketika kos sara hidup semakin meningkat dan subsidi bahan api dirasionalisasikan.

“Kami berulang kali menekankan tentang harga lantai, namun masih tidak diendahkan oleh kerajaan. Tetapi, kami tetap menyokong segala bentuk perhimpunan yang diadakan oleh mana-mana wakil kerajaan.

“Segala ayat seperti ‘pekerja gig tunjang ekonomi’ diharap bukanlah sekadar ayat manis dalam ucapan, tetapi direalisasikan dalam polisi sedia ada industri,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN