DUN Perak desak kaji keperluan remaja sekolah juga dapat vaksin - Utusan Malaysia

DUN Perak desak kaji keperluan remaja sekolah juga dapat vaksin

SAARANI Mohamad ketika sidang DUN Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/IHSAN URUSETIA DEWAN NEGERI PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Dewan Perak hari ini mendesak kerajaan agar melakukan kajian yang serius mengenai keperluan untuk pelajar sekolah juga menerima vaksin Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, perkara itu perlu diberikan perhatian kerana pelajar juga boleh menjadi pembawa virus Covid-19.

Menurutnya, jika ada keperluan untuk memberi vaksin kepada remaja sekolah, Perak akan menyokong dan berharap ia dilaksanakan secepat mungkin.

“Hari ini dewan menyatakan pendirian dan bersetuju mendesak agar kerajaan supaya melaksanakan kajian yang serius untuk memberi vaksin Covid-19 kepada remaja sekolah.

“Jika ada keperluan untuk memberi vaksin kepada remaja sekolah, maka kita turut menyokong dan berharap akan dilaksanakan secepat mungkin.

“Perak bersetuju bahawa keperluan memberi vaksin kepada remaja sekolah ini diutamakan kerana guru dan petugas di sekolah diberikan vaksin tetapi tidak kepada pelajar, sedangkan mereka boleh menjadi pembawa Covid-19.

“Namun perkara ini akan diputuskan Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Dr. Ko Chung Sen (DAP-Kepayang) pada sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pendaftaran bagi kumpulan remaja berusia 12 tahun hingga 17 tahun sudah diterima oleh sistem MySejahtera.

Namun tiada janji temu diberikan kepada kumpulan umur berkenaan ketika ini bagi mengelakkan sebarang risiko kes myocarditis dan pericarditis (radang jantung) selepas individu remaja mengambil dos kedua suntikan vaksin Covid-19 seperti kajian di Amerika Syarikat.

Sementara itu menjawab soalan tambahan Terence Naidu (DAP-Pasir Bedamar) yang membangkitkan kekurangan vaksin di negeri ini, Saarani berkata, masalah itu akan diatasi dengan meminjam vaksin dari Selangor.

Menurutnya, Setiausaha Kerajaan Negeri sudah membuat permohonan secara rasmi untuk meminjam vaksin kepada Selangor hari ini.

“Selangor bersedia untuk meminjamkan vaksin kepada kita, Selangor akan bantu kita dalam hal ini. Apabila kita dapat vaksin, kita akan pulangkan balik.

“Apa yang berlaku bukan disebabkan vaksin tak cukup tapi ia berkait tentang penjadualan ketibaan vaksin, sebab vaksin ini tertakluk pada pembekal, kalau lambat pembekal hantar, maka lambatlah vaksin tiba,” katanya.

Menurut Saarani, sehingga 28 Ogos lalu, jumlah bekalan vaksin yang diterima di negeri Perak berjumlah 2,383,460 dos.

“Perak adalah antara negeri yang mencapai peratusan tinggi bagi kadar penggunaan stok vaksin yang dibekalkan iaitu di antara 89 hingga 95 peratus,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN