PETALING JAYA: Pelakon, Zahiril Adzim berhasrat menghasilkan sebuah filem baharu bergenre aksi komedi tidak lama lagi.
Zahiril atau Muhammad Zahiril Adzim Mohd Mokhta, 42, berkata, dia bersama penerbit karya berkenaan kini akan membuka uji bakat terbuka bagi mencari bakat baharu untuk mengisi satu watak wanita dalam filem tersebut.
“Saya mahu hasilkan sebuah filem aksi komedi, InsyaAllah. Pelakon lain semua saya dan penerbit sudah setuju.
“Cumanya, ada satu watak perempuan yang kami rasa mahu buat uji bakat terbuka. Mahu cari bakat baharu,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Menjelaskan mengenai kriteria yang dicari, pelakon filem Juvana ini menetapkan beberapa syarat termasuk kebolehan menguasai seni pertahanan diri bagi menjayakan babak aksi kelak.
“Kalau saya buka uji bakat terbuka untuk watak perempuan umur 18 hingga 35 tahun, boleh berlakon, boleh bertarung sikit-sikit, ada asas seni mempertahankan diri lagi bagus. Ada yang berminat tak?,” katanya.
Untuk rekod, nama Zahiril mula melonjak naik dan dikenali ramai menerusi filem-filem hebat seperti Kami The Movie, Bunohan, serta watak ikonik Daim dalam siri fenomena Juvana yang meletakkan dirinya sebagai antara pelakon lelaki gred A tanah air.
Dalam pada itu, pelakon ini juga telah mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Shera Aiyob pada 20 November 2011 dan hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Nadi Anaqi Anaqi.










