Kadar pengangguran kembali naik kepada 3% pada April - Utusan Malaysia

Kadar pengangguran kembali naik kepada 3% pada April

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar pengangguran April kembali meningkat kepada 3.0 peratus, merekodkan 511,800 penganggur, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pasaran buruh negara terus menunjukkan pertumbuhan sederhana pada bulan tersebut, mencerminkan perkembangan ekonomi yang stabil.

Katanya, tenaga buruh naik 0.1 peratus kepada 17.33 juta orang berbanding 17.31 juta orang pada Mac 2026, manakala kadar penyertaan tenaga buruh kekal tidak berubah iaitu pada 70.9 peratus, sama seperti bulan sebelumnya.

“Sementara itu, bilangan penduduk bekerja terus meningkat pada April 2026, naik 0.1 peratus kepada 16.82 juta orang berbanding 16.80 juta orang pada bulan sebelumnya.

“Begitu juga, bilangan penganggur kekal dalam trend menaik, meningkat 0.6 peratus kepada 511,800 orang, berbanding 509,000 orang pada bulan yang lalu.

“Sehubungan itu, kadar pengangguran pada bulan tersebut naik 0.1 mata peratus kepada 3.0 peratus, sekali gus kembali kepada paras yang pernah direkodkan pada Oktober 2025,” kataya dalam kenyataan.

Mohd Uzir berkata, kategori pekerja merangkumi 75.0 peratus daripada jumlah penduduk bekerja pada April 2026 dan kategori ini meningkat sedikit 0.05 peratus kepada 12.61 juta orang (Mac 2026: 12.60 juta orang).

Pada masa yang sama, beliau berkata, bilangan penduduk bekerja sendiri terus menunjukkan trend peningkatan dan naik 0.2 peratus kepada 3.15 juta orang berbanding bulan sebelumnya.

“Dari perspektif sektor ekonomi, sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang utama kepada jumlah penduduk bekerja, dengan majoritinya terlibat dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit; penginapan dan perkhidmatan makanan dan minuman serta maklumat dan komunikasi.

“Bilangan penduduk bekerja dalam sektor pembuatan, pembinaan, pertanian serta perlombongan dan pengkuarian turut merekodkan pertumbuhan positif pada bulan tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata, penganggur aktif yang ditakrifkan sebagai mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan, merangkumi 79.5 peratus daripada jumlah penganggur.

Jelasnya, kumpulan ini mencatatkan peningkatan 0.3 peratus kepada 407,100 orang dan sebanyak 63.9 peratus daripada penganggur aktif menganggur kurang daripada tiga bulan, sementara 5.0 peratus daripadanya berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun.

“Pada masa yang sama, penganggur tidak aktif, yang terdiri daripada mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia, meningkat 1.5 peratus kepada 104,700 orang berbanding 103,200 orang pada bulan sebelumnya.

“Kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 24 tahun kekal pada kadar 10.2 peratus pada April 2026, dengan sejumlah 290,800 penganggur belia, manakala kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun meningkat kepada 6.3 peratus, dengan seramai 394,700 penganggur belia direkodkan.

“Sementara itu, bilangan penduduk di luar tenaga buruh menurun sedikit 0.01 peratus kepada 7.10 juta orang, berbanding bulan sebelumnya. Kerja rumah/ tanggungjawab keluarga kekal sebagai sebab utama berada di luar tenaga buruh, merangkumi 43.3 peratus, diikuti oleh sebab bersekolah/ latihan dengan 40.5 peratus,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN