Kereta suspek kes bunuh ditinggalkan di Batu Gajah - Utusan Malaysia

Kereta suspek kes bunuh ditinggalkan di Batu Gajah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Polis telah menemukan kereta Proton Wira yang digunakan suspek kes tikam mati seorang lelaki di Kilometer 12, Jalan Trans Perak, di Kampung Gajah, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata, kenderaan berwarna hitam dengan nombor pendaftaran WGX 3707 itu ditemui ditinggalkan di tepi jalan di Batu Gajah.

“Setakat ini, suspek masih lagi belum ditemui dan usaha mengesannya giat dijalankan. Kereta yang dilarikan suspek telah dijumpai di tepi jalan dekat Batu Gajah,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, suspek berusia 30 tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana kes curi kenderaan.

Semalam, seorang lelaki maut selepas mengalami kecederaan parah akibat ditikam dalam satu pergaduhan yang dipercayai berpunca daripada rasa cemburu.

Siasatan awal mendapati mangsa sempat dibawa ke sebuah klinik untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Difahamkan, insiden berkenaan tercetus akibat perselisihan faham antara mangsa dan suspek yang juga bekas teman lelaki kepada teman wanita mangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN