SUNGAI SIPUT: Hujan lebat sejak awal pagi tadi menyebabkan sebatang pokok tumbang dan menimpa dua buah kereta yang diparkir di tempat letak kereta di dewan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) di sini.
Kejadian sekitar pukul 8.30 pagi itu turut menjejaskan tiang elektrik dan pagar dewan berkenaan yang juga dijadikan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput, Mohd. Azizi Zakaria berkata, setibanya di lokasi, didapati sebatang pokok yang berada dalam kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist telah tumbang ke arah dewan MPKK.
Katanya, kerja-kerja memotong pokok dan pembersihan kawasan terpaksa ditangguh pada sebelah petang kerana tidak mahu mengganggu proses penyimpanan vaksin Covid-19 yang memerlukan bekalan elektrik.
“Hasil perbincangan dengan doktor di PPV, operasi akan dijalankan selepas proses pemberian vaksin selesai pada pukul 2 petang dengan bantuan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan MPKK.
“Kejadian tersebut tidak melibatkan kecederaan dan kereta yang ditimpa pokok itu juga difahamkan rosak dan telah lama diparkir di dalam kawasan dewan,” katanya.










