Gencatan senjata 14 hari - Utusan Malaysia

Gencatan senjata 14 hari

PENUNJUK perasaan pro-pemerintah berhimpun di jalan-jalan utama di Teheran selepas pengumuman kemenangan oleh Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persetujuan Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran melaksanakan genca­tan senjata selama dua minggu yang akan dimuktamadkan di Pakistan, Jumaat ini, memberi kelegaan kepada dunia.

Gencatan senjata yang di­umumkan Presiden AS, Donald Trump turut menyaksikan Iran bersetuju membuka semula Se­lat Hormuz, laluan maritim pen­ting yang mengendalikan kira-kira satu per lima bekalan minyak dunia, gas dan baja.

Belumpun 24 jam perkara itu diumumkan, kesannya jelas terasa di seluruh dunia terma­suk Malaysia.

Harga minyak mentah susut di bawah AS$100 (RM398) setong manakala pasaran saham global melonjak.

Minyak mentah Brent susut kira-kira 13.6 peratus kepada AS$94.41 (RM375.48) setong sementara minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) turun 15.89 peratus kepada AS$95 (RM377.87) setong, lewat petang semalam.

Ringgit turut mengukuh di ba­­wah RM4 berbanding dolar AS apa­bila ditutup pada 3.9760/3.9820 berbanding 4.0280/4.0320 pada Selasa.

Mata wang tempatan telah di­dagangkan di bawah RM4 sejak 26 Januari lalu, namun jatuh semula melebihi paras psikologi ter­sebut pada 27 Mac berikutan ke­tidaktentuan pasaran.

Teheran dan Washington mendakwa mencapai kemenangan dalam konflik tersebut, dengan­ Trump memberitahu AFP perjanjian tersebut merupakan ‘kemena­ngan menyeluruh dan sepenuh­nya’ untuk AS.

Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran juga mengisytiharkan negara itu mencapai kemenangan besar dan menegaskan AS mengalami kekalahan yang tidak dapat dinafikan.

Di Teheran, penunjuk perasaan pro-pemerintah berhimpun di jalan-jalan utama selepas pengumuman tersebut, melaungkan slogan menentang AS dan Israel serta menolak sebarang kompromi.

“Iran mencapai kemenangan besar. Musuh mengalami kekalahan yang tidak dapat dinafikan, bersejarah dan menghancurkan dalam perangnya yang pengecut, haram dan jenayah terhadap bangsa Iran,” kata kenyataan Majlis Kesela­matan Negara Tertinggi Iran.

Rumah Putih berkata, Israel juga bersetuju dengan genca­tan senjata tetapi Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu menegaskan, ia tidak termasuk Lubnan, di mana opera­si menentang tembakan roket kumpulan Hizbollah meragut lebih 1,500 nyawa.

Semalam, tentera Israel ma­sih meneruskan operasi di Lubnan dan memberi amaran kepada penduduk sebuah bangunan berhampiran bandar Tyre untuk berpindah, dengan media Kerajaan Lubnan mela­porkan serangan baharu.

Sementara itu, saham Asia meningkat semalam dengan pasaran Jepun dan Korea Selatan menerajui keuntungan de­ngan masing-masing naik lebih lima peratus.

Indeks Nikkei 225 melonjak 2,878.86 mata atau 5.39 peratus kepada 56,308.42 ketika ditutup.

Selain itu, STI Singapura naik 0.95 peratus kepada 5,005.03 dan indeks KOSPI Korea Selatan meningkat 377.56 mata atau 6.87 peratus kepada 5,872.34.

Niaga Hadapan S&P 500 me­lonjak lebih dua peratus selepas Trump mengumumkan bahawa AS akan menangguhkan sera­ngan yang dirancang ke atas Iran, dalam rundingan yang dipimpin oleh Pakistan sebagai orang tengah.

Bagi pasaran saham tempa­tan pula, FTSE KLCI Bursa Malaysia (FBM KLCI) menokok 19.45 mata kepada 1,696.31 pada pukul 5 petang semalam ber­banding 1,676.86 ketika ditutup pada Selasa, selepas dibuka tinggi pada 1,688.51.

Perjanjian damai akan men­gekalkan kedaulatan Iran, walaupun AS dan Israel berharap untuk menumbangkannya. AS dan Israel berkata, serangan mereka bertujuan melemahkan kapasiti ketente­raan Iran.

Trump memberitahu AFP, beliau percaya China membantu mendorong Teheran untuk berunding dan memaklumkan di media sosial AS akan membantu mengurus kesesakan trafik di Selat Hormuz

“Tertakluk kepada persetujuan Iran dengan pembukaan Selat Hormuz secara lengkap, segera dan selamat, saya bersetuju menggantung pengeboman dan serangan ke atas Iran selama dua minggu,” tulisnya di platform Truth Social.

Dalam pada itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, nilai ringgit terjejas sebelum ini akibat kebimbangan kesan perang dan kenaikan harga bahan api yang melonjak.

Katanya, kesan pengumuman gencatan senjata selama dua minggu merupakan faktor penting dalam menentukan hala tuju pergerakan harga mi­nyak mentah dunia.

“Harga minyak mentah WTI dan Brent telah merosot di bawah paras AS$100 setong. Justeru, perkembangan ini menandakan bahawa Iran telah mula bersetuju untuk bergerak daripada posisi mereka yang sebelum ini tidak mahu berun­ding.

“Ruang ini dijangka akan digunakan dengan sebaiknya oleh Pakistan sebagai orang tengah bagi memastikan run­dingan tersebut akan berterusan dan menghasilkan suatu resolusi yang lebih tuntas pada masa akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mohd. Afzanizam berkata, apabila situasi mula berubah, ia memberi kesan positif kepada sentimen pasaran kewa­ngan dan juga mata wang negara manakala ringgit dijangka akan terus mencatatkan kenaikan sekiranya perkembangan positif ini berterusan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN