Trak tunda ‘pulau’ syarikat insurans - Utusan Malaysia

Trak tunda ‘pulau’ syarikat insurans

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengusaha trak­ tunda kenderaan terpak­sa ‘memulaukan’ tawaran per­khid­ma­tan daripada syarikat insurans, berikutan kadar caj yang tidak sepadan dengan kos bahan api perlu ditanggung mereka.

Kadar semasa bagi perkhidmatan tunda di bawah syarikat insurans adalah RM3 bagi setiap kilometer (km).

Bagi kawasan Lembah Klang,­ caj dasar yang dikenakan adalah RM90 bagi jarak 0 hingga 20km manakala kawasan lain di Semenanjung pula RM120 pada jarak sama.

Mereka mendakwa, menanggung kerugian secara automatik, sekiranya menerima tawaran itu ekoran harga diesel yang mencecah RM6.02 seliter disebabkan konflik Asia Barat.

Keadaan itu sekali gus menyebabkan banyak kes kerosa­kan atau kemalangan kenda­lian syarikat insurans kini ter­tunggak.

Salah seorang pengusaha yang mahu dikenali sebagai Samad, 50, berkata, mereka bertindak menggantung kunci memboikot operasi disebabkan tidak lagi mampu menampung bebanan kos terutama peningkatan harga diesel.

“Kalau terus jalan, memang rugi. Ramai sudah mula boikot sebab tak boleh bertahan.

“Pendapatan kami juga me­nurun secara mendadak antara 60 ke 75 peratus ekoran kadar lama yang ditetapkan syarikat insurans kekal terpakai, walaupun harga diesel terus naik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Samad berkata, kadar bayaran perkhidmatan trak tunda tidak banyak berubah sejak lima tahun lalu, walaupun kos operasi meningkat mendadak.

“Masalahnya apabila ada pelanggan yang tidak membayar secara tunai kerana mereka juga mengemukakan tuntutan insurans.

“Justeru, apa yang kami buat sekarang adalah minta harga dipersetujui sebelum bergerak. Atau kalau adapun, sesetengah syaikat insurans beri wang tambahan RM20 ke RM30,” katanya.

Samad berharap pengusaha trak tunda diberikan subsidi diesel sebagaimana kenderaan awam yang layak termasuk bas ekspres, bas sekolah, teksi dan sebagainya.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Kebajikan Ejen Perolehan Semula Malaysia, Asrul Effendi Desa berkata, perkara itu turut dirasai pengusaha trak tunda di bawah kendalian bank.

“Kos tunda dulu di Pulau Pinang ke stor RM200. Tapi pihak bank bayar RM100 ke RM150, bergantung kepada bank.

“Selebihnya ditanggung oleh pemilik kenderaan yang akan membayar caj tersebut ketika membuat tuntutan kenderaan. Jika mereka tidak tuntut kenderaan yang ditarik, kami rugi. Apatah lagi dengan peningkatan harga minyak diesel pada masa kini,” katanya.

Sementara itu, seorang ejen insurans yang mahu dikenali sebagai Saiful berkata, kadar premium insurans kenderaan dijangka akan terus meningkat dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Kos operasi macam tunda, hantar alat ganti dan kerja bengkel juga turut naik. Bila kos tuntutan jadi lebih tinggi, secara tak langsung premium pun akan terkesan.

“Dalam masa sama, model kereta turut memainkan pe­ranan. Kalau kereta mahal atau alat ganti susah dan mahal, memang biasanya premium jadi lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN