PETALING JAYA: Rundingan damai yang bakal diadakan antara Iran dengan Amerika Syarikat (AS) tidak akan berjaya, jika prosesnya diselubungi penipuan dan muslihat dua muka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rundingan itu perlu berjalan sebaiknya supaya pelan 10 perkara dapat diterjemah menjadi satu perjanjian damai yang menyeluruh.
Katanya, Malaysia menyokong dan bersedia melengkapkan segala usaha dalam merealisasikan rundingan damai antara Iran dengan AS bagi mengembalikan keamanan serta kestabilan, bukan sahaja di Asia Barat bahkan di seluruh dunia.
Ujarnya, beliau sepenuh hati mengalu-alukan perkembangan terkini konflik, susulan kesediaan kedua-dua pihak untuk melaksanakan gencatan senjata.
Anwar berkata, perkembangan itu susulan pelan 10 perkara yang dicadangkan Iran diterima secara positif oleh AS, semalam.
“Bukan sahaja untuk Iran, tetapi juga bagi Iraq, Lubnan dan Yaman. Selain itu, pihak-pihak yang terlibat perlu memastikan penamatan pembunuhan beramai-ramai dan perampasan hak rakyat Palestin, khususnya di Gaza.
“Cadangan ini memberi petanda baik ke arah pemulihan keamanan dan kestabilan, bukan sahaja di rantau ini tetapi juga di seluruh dunia.
“Adalah diharapkan agar proses rundingan dijalankan dengan penuh kejujuran dengan tekad yang kukuh untuk mencari penyelesaian berkekalan terhadap isu-isu yang sedang dihadapi oleh rantau ini,” kata Perdana Menteri.
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Pakistan dan Perdana Menterinya, Shehbaz Sharif atas usaha diplomasi yang tidak mengenal penat lelah dan penuh keberanian.
“Kesediaan Pakistan untuk berunding dengan semua pihak, tanpa rasa takut atau berat sebelah, mencerminkan tradisi tertinggi solidariti umat Islam dan tanggungjawab antarabangsa. Malaysia bersedia untuk menyokong serta melengkapkan segala usaha dalam perkara ini,” katanya.
Anwar berkata, Malaysia turut menyeru komuniti antarabangsa supaya memastikan akses bantuan kemanusiaan tidak terhalang kepada semua penduduk awam yang terjejas akibat peperangan itu.
“Biarlah ini menjadi titik perubahan ke arah keamanan yang berkekalan. Dunia tidak mampu untuk menerima apa-apa yang kurang daripada itu,” katanya. – UTUSAN










