Dua ditahan guna Instagram ‘Beauty_Saranghae’ tipu jual barangan elektrik - Utusan Malaysia

Dua ditahan guna Instagram ‘Beauty_Saranghae’ tipu jual barangan elektrik

Menyamar polis
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis mengesan kewujudan akaun Instagram dikenali Beauty_ Saranghae yang disyaki terlibat dalam penipuan penjualan barangan elektrik.

Sehubungan itu, dua individu yang dipercayai dalang utama penipuan berkenaan ditahan pada 9 Ogos lalu susulan 64 laporan polis diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) melibatkan akaun Instagram berkenaan dengan kerugian RM153,759.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, berdasarkan siasatan awal, modus operandi digunakan adalah dengan mengiklankan pelbagai barangan elektronik dengan harga yang lebih murah dari pasaran.

Kata beliau, pembeli yang berminat kemudiannya akan diarahkan untuk membuat bayaran ke dalam akaun yang diberikan.

“Namun setelah pembayaran dibuat, barangan yang dijanjikan tidak diterima,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Mohd. Kamarudin, kedua-dua suspek yang merupakan warga tempatan masing-masing berusia 32 dan 53 tahun direman bagi siasatan di bawah Seksyen 402 Kanun Keseksaan.

Jelas beliau, dalam usaha untuk mencegah kes-kes sebegini daripada berlaku, pihak polis menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati dan sentiasa berwaspada apabila membuat pembelian barangan secara dalam talian.

“Orang ramai digalakkan untuk membuat semakan pengesahan akaun bank dan talian telefon melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule untuk mengenal pasti sama ada akaun bank tersebut pernah terlibat dalam kes penipuan ataupun tidak,” tegasnya.

Dalam perkembangan berasingan, Mohd. Kamaruddin menjelaskan, sebanyak 15,785 kes penipuan secara dalam talian telah disiasat melibatkan kerugian keseluruhan RM110,596,301.37 sejak 2019 sehingga semalam.

Jelasnya, daripada jumlah itu, sebanyak 3,512 kes dicatatkan pada 2019 dengan jumlah kerugian RM28,033,387.22 diikuti sebanyak 5,846 lagi kes direkodkan pada tahun lalu dengan kerugian RM41,432,531.48.

“Bagi tempoh awal tahun lalu sehingga semalam, sebanyak 6,428 kes dicatatkan melibatkan kerugian RM41,130,382.67,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN