SYROS: Dua lagi kapal berlayar dari pulau Syros, Greece, pada petang Ahad bagi menyertai Global Sumud Flotilla, misi antarabangsa yang bertujuan memecah sekatan Israel ke atas Gaza dan menghantar bantuan kemanusiaan, lapor wartawan AFP.
Diiringi laungan ‘Bebaskan Palestin’, kira-kira 500 orang berkumpul di pelabuhan Ermopoulis untuk menghantar keberangkatan dua kapal yang didaftarkan di Greece, iaitu Oxygen dan Ilektra.
Kedua-duanya membawa barangan keperluan untuk Gaza yang dilanda kebuluran, masing-masing bersama lima dan lapan anak kapal.
“Inilah cara untuk menunjukkan kepada Israel bahawa mereka tidak berhak memaksa kebuluran. Dan sudah tentu untuk menyampaikan mesej solidariti kepada rakyat Palestin yang begitu menderita,” kata salah seorang kru, Kostas Fourikos, 39 tahun, kepada AFP.
Seorang lagi kru, Angeliki Savvantoglou, 35, menegaskan flotila itu mahu memberi tekanan kepada kerajaan negaranya sendiri supaya berhenti bekerjasama dengan Israel dan menghentikan pembunuhan beramai-ramai.
Kedua-dua kapal tersebut dijangka bergabung dengan armada lain yang berusaha menyalurkan bantuan bagi meringankan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza, ketika perang Israel dengan kumpulan pejuang Hamas berterusan.
Pada Ogos lalu, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) secara rasmi mengisytiharkan keadaan kebuluran di dalam dan sekitar Gaza City yang menempatkan kira-kira sejuta penduduk. Israel bagaimanapun menafikan kewujudan kebuluran di wilayah pesisir itu.
Disokong oleh beberapa tokoh terkenal termasuk aktivis alam sekitar Greta Thunberg, flotila pro-Palestin Global Sumud menggambarkan dirinya sebagai kumpulan bebas tanpa kaitan dengan mana-mana kerajaan atau parti politik.
Misi flotila itu sebelum ini berdepan sekurang-kurangnya dua serangan dron ketika berlabuh di perairan Tunisia, menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan kapal-kapal Greece.
“Saya rasa semua orang bimbang, tetapi kami juga sudah cukup bersedia setakat yang termampu,” kata Savvantoglou menolak kebimbangan tersebut.
“Apa yang kami lalui selama ini sama ada kerenah birokrasi atau serangan dron di Tunisia tidak seberapa jika dibandingkan dengan hanya satu minit hidup di Gaza,” tambahnya.- AGENSI










