KUALA NERUS: Terengganu membuktikan statusnya sebagai destinasi pelancongan utama negara apabila merekodkan kehadiran lebih 6.9 juta pelancong dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, sekali gus hampir menyamai sasaran tahunan sebanyak 8.5 juta pengunjung.
Pengiktirafan negeri ini sebagai negeri paling bahagia di Malaysia oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), baru-baru ini juga dilihat sebagai faktor tambahan mengukuhkan jenama Terengganu sebagai lokasi percutian pilihan dengan gabungan tarikan semula jadi, budaya serta rakyat yang mesra.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, jumlah tersebut menunjukkan perkembangan positif apabila pelancongan domestik merangkumi hampir 70 peratus manakala selebihnya terdiri daripada pengunjung antarabangsa.
“Dalam tempoh separuh tahun sahaja kita sudah melepasi jangkaan asal. Jika momentum ini berterusan, tidak mustahil Terengganu mampu mencatatkan lebih 10 juta pelancong pada hujung tahun nanti,” katanya kselepas majlis penutup Karnival Pantai Terengganu di sini, malam tadi. – UTUSAN










