MARAN: Dua beradik perempuan maut selepas kenderaan yang dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah kereta lain di Jalan Besar Jengka 19, berhampiran kolam pancing di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd. Salahuddin Isa berkata, dua beradik yang maut dalam nahas kira-kira pukul 6.15 petang itu ialah Dinie Hanis Noor Azlan Efenddy, 23, dan Dinie Nasuha, 19.
Katanya, kemalangan melibatkan sebuah Toyota Unser dan sebuah Perodua Axia.
“Siasatan awal mendapati Toyota Unser dipercayai dalam perjalanan dari Jengka 19 menuju ke Bandar Pusat Jengka sebelum terlibat dalam kemalangan dengan Perodua Axia,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang menaiki Toyota Unser didapati tersepit di dalam kenderaan yang terbalik akibat impak kemalangan tersebut.
Katanya, pasukan keluaran operasi kemudian menjalankan kerja-kerja menyelamat dengan menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap.
“Bagaimanapun, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN










