PORT DICKSON: Seramai 43 orang penduduk Kampung Jimah Lama, Siliau di sini terjejas banjir susulan hujan lebat yang melanda malam tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Port Dickson, Kapten (PA) Mohamad Ridzuan Mohamed Buniran berkata mangsa terjejas membabitkan 27 dewasa serta 16 kanak-kanak dan kesemua mereka diarahkan berpindah selepas kediaman mereka dinaiki air awal pagi tadi/
“Banjir itu menjejaskan sembilan buah rumah dengan arahan perpindahan dikeluarkan seawal pukul 6 pagi selepas laporan diterima sekitar pukul 5 pagi. Bagaimanapun, hanya tiga keluarga setakat ini telah berpindah.
“Pusat Pemindahan Sementara (PPS) rasmi belum dibuka dan semua mangsa ditempatkan sementara di Balai Raya Kampung Jimah Lama, ” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, keadaan paras air kini dilaporkan menurun perlahan.
“Namun begitu, anggota keselamatan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Port Dickson masih melakukan pemantauan rapi di lokasi, ” katanya.-UTUSAN.










