Dr. Mahathir dakwa kerajaan PN automatik bubar - Utusan Malaysia

Dr. Mahathir dakwa kerajaan PN automatik bubar

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) secara automatik terbubar apabila mengumumkan pembatalan Ordinan Darurat tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, perkara itu sekali gus kerajaan hari ini tidak boleh mentadbir negara khususnya apabila mereka gagal mencapai persefahaman antara institusi diraja dan Kabinet. 

Katanya, pembatalan Proklamasi dan Ordinan Darurat itu tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan menunjukkan ia dilakukan tidak mengikut proses perundangan negara.

“Ikut pindaan kita buat sebelum ini, kalau raja (Yang di-Pertuan Agong) tolak maka dewan (Dewan Rakyat) mesti bincangkan sebab penolakan. Kalau tiada perubahan (berhubung sebab penolakan), dewan boleh hantar balik kepada raja. Kalau raja tak lulus selama dua bulan, barulah ia jadi undang-undang.

“Bagaimanapun, ini (pembatalan Proklamasi dan Ordinan Darurat) belum dikemukakan kepada Parlimen, selepas tidak dipersetujui raja… (kerajaan) buat pengumuman seolah-olah ia sudah jadi undang-undang,” katanya ketika berucap di Dataran Merdeka di sini.

Terdahulu beberapa ahli Parlimen pembangkang berkumpul di Dataran Merdeka setelah mereka tidak dibenarkan memasuki Bangunan Parlimen hari ini.

Namun sebelum itu, beberapa pemimpin utama pembangkang dan bebas antaranya Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilihat juga menyampaikan ucapan.

Dr. Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi turut menuntut agar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur daripada jawatannya.

Sementara itu, Mohamad yang merupakan Ahli Parlimen Kota Raja menyatakan kebimbangannya dengan kemelut yang melanda menyebabkan pelabur asing enggan melabur susulan ketidakstabilan politik.

 

“Kalau pelabur tak datang kerana politik, (keadaan ini) lebih teruk daripada Zimbabwe. Kalau pemimpin Zimbabwe tengok Malaysia, dia pun cakap kita lagi teruk daripada mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN