KUALA LUMPUR: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengejutkan peminat apabila mengumumkan anak kepada penyampai radio popular, Sharifah Shahira iaitu Auddra Zulkifly, kini secara rasmi bernaung di bawah pengurusannya, SN Legacy (SNL).
Pengumuman tersebut dibuat semasa konsert berlangsung, sejurus selepas gadis yang mesra disapa sebagai Oddah itu tampil memukau penonton dengan aksi lincah menari mengiringi persembahan lagu bertenaga, Destinasi Cinta.
Menjelaskan mengenai pemilihan tersebut, Siti memberitahu kehadirannya bersama Oddah di atas pentas malam ini mempunyai simbolik tersendiri dalam kerjaya seninya.
“Kenapa saya jemput Oddah bersama dengan saya? Kalau bercakap soal anak angkat, saya sebenarnya mempunyai ramai anak angkat.
“Namun, Oddah kini sudah rasmi bernaung di bawah naungan SNL. Sebab itulah konsert malam ini dinamakan ‘Legasi’,” katanya di hadapan 65,000 peminat yang hadir.
Sebelum ini, Oddah yang merupakan anak hasil perkahwinan Sharifah Shahirah bersama pelakon Ijoy Azhari sering mendapat perhatian di media sosial selepas kemunculannya di pentas program Talk To My Managerx
Selain kemunculan istimewa Oddah, konsert yang penuh gilang-gemilang itu turut dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi jemputan seperti Hafiz Suip, Noh Salleh, serta penyanyi kian meningkat naik, Umairah.
Tidak ketinggalan, penyanyi bersuara serak basah dari seberang, Cakra Khan turut hadir memberikan persembahan yang cukup berbekas di hati peminat.
Terdahulu, Siti memukau penonton menyanyikan lebih 30 buah lagu sepanjang tiga jam Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Sabtu. – UTUSAN











