CAP gesa kerajaan haramkan penjualan air botol plastik

CAP gesa haramkan penjualan air botol plastik

MOHIDEEN ABDUL KADER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang menggesa kerajaan Pusat menghapuskan penjualan air botol plastik secara berperingkat di negara ini bagi melindungi kesihatan awam. 

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, air botol juga perlu diharamkan sebagai kemudahan sama ada di peringkat kerajaan Pusat, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan serta di sekolah, kolej dan universiti. 

Menurutnya, rakyat Malaysia membelanjakan kira-kira RM698.45 juta pada 2019 untuk membeli air botol yang diiklankan sebagai air yang lebih sihat, tulen dan selamat. 

Sedangkan realitinya tambah beliau, air botol plastik mungkin tidak selamat, tulen atau sihat kerana boleh menjadi toksik, tercemar dan berbahaya serta merupakan ancaman terbesar kepada alam sekitar.  

Jelasnya, beratus-ratus air botol sebelum ini ditarik balik disebabkan bahan cemar seperti arsenik, cendawan, bakteria najis, yis, dan alga hinggalah kepada pencemaran minyak tanah, kepingan kaca malah zarah cengkerik. 

Malah ujar beliau, penyelidikan baru-baru ini turut mendedahkan penemuan lebih banyak mikroplastik dalam air botol berbanding air paip. 

“Pihak berkuasa Singapura juga telah mengarahkan penarikan balik air botol dari Malaysia pada Disember tahun lalu selepas menemui Pseudomonas aeruginosa iaitu bakteria yang ditemui di dalam najis, tanah, air dan kumbahan di dalamnya. 

“Enam bulan lebih awal, negara itu turut menarik balik satu lagi jenama air botol dari Malaysia atas alasan yang sama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Sebagai alternatif tambah Mohideen, kerajaan perlu menambah baik mutu air paip yang dibekalkan kepada pengguna. 

Selain itu katanya, air minuman bersih juga perlu dipastikan mudah diperoleh di tempat awam atau ketika perhimpunan, mesyuarat serta persidangan. 

“CAP juga menasihatkan pengguna untuk mengelakkan air botol komersial dan minumlah air paip yang dimasak kerana ia lebih selamat, sihat, murah dan lebih baik untuk alam sekitar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN