Bilangan kes kemasukan hospital bergejala indikator baharu peralihan fasa PPN - Utusan Malaysia

Bilangan kes kemasukan hospital bergejala indikator baharu peralihan fasa PPN

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) menetapkan indikator baharu iaitu bilangan kes kemasukan hospital bergejala bagi menggantikan indikator sedia ada iaitu bilangan kes Covid-19 harian baharu.

Menteri Penyelaras PPN, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, penggantian indikator itu hanya digunakan apabila vaksinasi sesebuah negeri dalam Fasa 1 mencapai kadar sekurang-kurangnya 50 peratus penduduk dewasa.

Menurut beliau, keputusan itu dicapai menerusi sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Pemulihan Negara (MPN) dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berdasarkan nasihat pakar kesihatan serta pengalaman antarabangsa dan domestik, dengan penelitian risiko penularan Covid-19 menurun seiring peningkatan kadar vaksinasi penduduk dewasa.

Beliau menjelaskan, penanda aras bagi kes bergejala yang digunakan adalah berdasarkan kemasukan harian ke hospital bagi jumlah kes pesakit dalam Kategori 3, 4 dan 5 dan nilai ambang yang ditetapkan bagi bilangan kes bergejala untuk peralihan Fasa 1 ke Fasa 2 ialah 2,000 kes (6.1 kes per 100,000 penduduk) manakala Fasa 2 ke Fasa 3 ialah 1,000 kes (3.0 kes per 100,000) dan Fasa 3 ke Fasa 4 pula 400 kes (1.3 kes per 100,000 penduduk).

Bagaimanapun kata beliau, dalam penilaian peralihan daripada satu fasa kepada fasa selanjutnya, ia masih tertakluk kepada keperluan memenuhi kesemua indikator, termasuk penggunaan kapasiti unit rawatan rapi (ICU) dan kadar vaksinasi penduduk dewasa.

“Sebagai contoh, bagi Lembah Klang, Johor, Negeri Sembilan, Kedah dan Melaka yang masih berada di Fasa 1, apabila mereka mencapai kadar vaksinasi sekurang kurangnya 50 peratus penduduk dewasa, indikator kes yang diguna pakai ialah kes kemasukan hospital baharu bergejala.

“Seterusnya, negeri itu hanya boleh beralih ke Fasa 2 jika mencapai nilai ambang kes kemasukan hospital baharu bergejala (6.1 per 100,000 penduduk) dan tahap kapasiti penggunaan ICU (sederhana),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tengku Zafrul yang juga Menteri Kewangan berkata, keputusan itu juga diambil selepas risiko penularan dilihat jelas terkawal di Sarawak dan Labuan, dengan pengurangan ketara kes bergejala termasuk yang memerlukan rawatan di wad ICU.

Katanya, walaupun Sarawak dan Labuan berdepan dengan penggunaan kapasiti wad ICU penuh semasa Jun, namun setelah kadar vaksinasi mencecah 50 peratus pada Julai, penggunaan kapasiti wad ICU menurun bagi kedua-duanya dan mencapai tahap ‘mencukupi’.

Justeru katanya, penilaian risiko bagi mempertimbangkan pembukaan aktiviti ekonomi dan sosial lebih tepat jika berasaskan kepada bilangan kes bergejala kategori 3, 4 dan 5, berbanding jika dirujuk kepada jumlah kes baharu harian.

“Contohnya, walaupun kes harian baharu di Sarawak mencecah 400 sehari tetapi bilangan pesakit baharu Kategori 3, 4 dan 5 kurang daripada 10 pesakit atau 2 peratus daripada kes harian.

“Negara-negara seperti United Kingdom juga mengambil pendekatan tertumpu kepada kadar kes bergejala dan membenarkan pembukaan aktiviti ekonomi dan sosial berdasarkan penilaian risikonya, iaitu jumlah kes bergejala adalah rendah walaupun jumlah kes baharu masih tinggi,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sejak dari awal pengumuman PPN, kerajaan menekankan bahawa PPN perlu bersifat dinamik yang mana semua pendekatan diambil adalah berdasarkan data dan sains.

Katanya, ini termasuklah penetapan indikator dan nilai ambang untuk peralihan fasa dan penggunaan nilai indikator baharu itu dapat menambah baik penilaian risiko dalam mempertimbangkan pembukaan aktiviti ekonomi dan sosial dalam konteks peralihan fasa PPN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN