Kalau diperhatikan sekarang ini, ada juga segelintir artis yang makin galak ‘menyelit’ dalam setiap isu tular di media sosial. Orang lain bergaduh, dia yang menyampuk. Orang lain buat hal, dia pula paling laju beri pendapat.
Begitulah kisahnya dengan seorang artis lelaki ini yang makin hari makin ligat mahu bercakap tentang semua perkara.
Sampai netizen pun sudah boleh agak, kalau ada isu trending sahaja, pasti akan muncul kenyataan panjang berjela daripada dirinya.
Kononnya mahu beri pandangan matang, tetapi orang industri nampak sangat tujuan sebenar, mahu perhatian semata-mata. Maklumlah, bila karier sendiri agak sendu, beginilah caranya untuk kekal relevan.
Menurut cerita yang sampai ke telinga Cik Bunga, artis ini juga dikatakan cukup gemar bermain simpati. Di depan khalayak, bukan main lagi cerita dirinya ‘dipinggirkan’, ‘tidak diberi peluang’, malah kadang-kadang seperti mahu orang kasihan supaya ada pihak sudi hulur tawaran kerja.
Namun masalahnya, perangai sendiri pun satu hal.
Orang industri bukan tidak mahu membantu, tetapi ramai sudah serik dengan sikapnya yang dikatakan suka gebang sana sini.
Dalam set penggambaran mahu jadi paling tahu. Di media sosial pula pantang nampak isu, semua benda dia mahu ulas. Kalau tidak puas hati sedikit, mula cari gaduh secara terbuka. Habis semua orang mahu disindirnya.
Akhirnya, ramai penerbit dan produksi ambil keputusan lebih baik elak daripada membawa ‘drama’ ke dalam set. Yalah, dunia seni ini bukan sekadar bakat semata-mata. Sikap dan disiplin itu juga memainkan peranan besar.
Kalau asyik mahu bermasam muka, suka cari perhatian dan sentiasa mahu jadi mangsa keadaan, sampai bila orang hendak percaya untuk beri peluang?
Tak hairanlah selepas bertahun-tahun dalam industri, namanya masih begitu juga. Orang lain sudah jauh melangkah, dia masih sibuk bercakap tentang kontroversi demi kontroversi.
Kadang-kadang, sebelum salahkan industri atau nasib tidak menyebelahi diri, cuba tengok cermin dulu. Mungkin yang perlu diubah bukan strategi promosi, tetapi perangai sendiri.
Bak kata orang lama, kalau mulut terlalu lancang dan hati suka mencari gaduh, rezeki pun takut hendak dekat.










