KOTA TINGGI: Seorang bekas penjawat awam antara dua tekong yang ditahan Jabatan Imigresen dalam operasi khas yang berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan migran di Tanjung Sedili, kelmarin.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, Op Seludup yang turut dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu menahan lelaki berkenaan yang berusia 33 tahun bersama seorang lelaki warganegara Indonesia berusia 35 tahun sebagai dalang.
Kata beliau, turut ditahan dalam operasi itu adalah seramai 18 migran warganegara Indonesia yang cuba diseludup masuk ke negara ini.
“Ketika operasi dijalankan migran berkenaan sedang diangkut menggunakan tiga buah kenderaan yang masing-masing dipandu kedua-dua tekong tersebut manakala seorang lagi pemandu melarikan diri.
“Pasukan operasi mendapat maklumat bahawa sekumpulan migran yang diseludup dijangka mendarat di Pantai Tanjung Lompat antara pukul 3 hingga 5 pagi.
“Susulan itu pasukan operasi digerakkan danmemintas kenderaan-kenderaan yang membawa migran-migran tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain tangkapan tekong dan migran terbabit, ketiga-tiga kenderaan yang digunakan juga disita dengan nilai anggaran berjumlah RM130,000.
Jelas Khairul Dzaimee, sindiket itu dipercayai telah bergerak aktif sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu.
“Modus operandi sindiket adalah menjalin kerjasama dengan tekong laut yang menyeludup migran dari negara jiran dan mendarat di pantai sekitar negeri Johor. Manakala tekong darat akan menyediakan pengangkutan untuk mengangkut migran-migran berkenaan sebelum diagihkan kepada majikan.
“Caj yang dikenakan oleh sindiket kepada migran untuk diseludup masuk ke Malaysia adalah antara RM800 hingga RM1,500 seorang,” katanya.
Tambahnya, kesemua 18 orang migran yang ditangkap akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa suatu pas yang sah.
Kedua-dua tekong tersebut pula disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 bagi kesalahan menyeludup migran.
“Mereka boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun dan boleh juga dikenakan denda, atau kedua-duanya. Kesemua mereka sedang ditahan reman. Kami merakamkan ucapan terima kasih kepada ATM dan PDRM yang telah menghulurkan bantuan dalam menjayakan operasi ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE