Pandu mabuk: Menegakkan undang-undang lebih adil - Utusan Malaysia

Pandu mabuk: Menegakkan undang-undang lebih adil

NOR Nadia Abdul Majid, isteri kepada lelaki yang maut dilanggar pemandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol baru-baru ini, bersama tiga anaknya di Perak. – mingguan/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi yang memandu kenderaan yang mana kandungan alkohol atau dadah yang melebihi kepekatan yang dibenarkan memperuntukkan hukuman tidak melebihi dua tahun penjara dan denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM 30,000 dan hilang kelayakan daripada mendapatkan suatu lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada dua tahun dari tarikh sabitan.

Seksyen 44 Akta yang sama juga memperuntukkan hukuman bagi kesalahan yang sama. Namun kesalahan itu menyebabkan kematian maka hukuman yang diperuntukkan adalah penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 15 tahun dan hukuman denda tidak kurang daripada RM50,000 dan tidak melebihi RM 100,000 serta hilang kelayakan mendapatkan lesen memandu selama 10 tahun dari tarikh sabitan.

Memandu dalam keadaan mabuk menjadi isu yang hangat akhir-akhir ini. Baru-baru ini terjadi satu insiden yang mana seorang lelaki maut akibat dirempuh pemandu yang dikatakan memandu dalam keadaan mabuk dan mengambil dadah.

Maka timbul persoalan oleh masyarakat sama ada hukuman bagi kesalahan ini mencukupi dan memadai jika melibatkan kematian? Di dalam sesuatu kes jenayah, maka adalah wajar pihak pegawai penyiasat menyiasat sesuatu kes bukan hanya tertumpu pada satu aspek. Aspek-aspek dalaman dan luaran perlu juga diambil kira. Perkara ini akan dibentangkan kepada pendakwa raya untuk menentukan hala tuju pertuduhan itu.

Daripada segi pendakwaan, pelbagai pertuduhan boleh dibuat berdasarkan fakta dan siasatan pegawai penyiasat dan pendakwaan akan memilih pertuduhan bersesuaian menurut keterangan yang ada untuk mendapatkan sesuatu sabitan.

Ini termaktub di bawah Seksyen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) iaitu kuasa pendakwa raya termasuk mengkaji kertas siasatan dan memberikan nasihat serta arahan kepada penguat kuasa dan menjalankan pendakwaan.Perlu diingatkan setiap fakta kes berlainan dan pertuduhan perlu bersesuaian dengan setiap fakta dan hasil siasatan.

Berbalik kepada isu sama ada hukuman yang diperuntukan adalah memadai maka ada yang dicadangkan seperti berikut:

Pertamanya, agar pihak berkuasa menuduh tertuduh di bawah kesalahan membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup iaitu 30 tahun.

Pertuduhan yang dicadangkan adalah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Namun di bawah pertuduhan Seksyen 302 ia memerlukan intipati undang-undang berlainan daripada peruntukan di bawah Seksyen 44 dan 45 Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.

Pertuduhan membunuh memerlukan pembuktian bahawa tertuduh mempunyai niat dan perbuatannya sangat bahaya dan dalam keadaan biasa akan menyebabkan kematian kepada seseorang. Pembuktiannya adalah lebih sulit berbanding pertuduhan di bawah Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.

Pertuduhan di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan juga adalah dicadangkan iaitu membunuh tanpa niat yang memperuntukkan hukuman tidak melebihi 30 tahun penjara dan boleh dikenakan denda bagi Seksyen 304(a) dan Seksyen 304(b), penjara tidak melebihi 10 tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.

Sama seperti di atas ia juga lebih sulit dalam pembuktian kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987. Namun pilihan terbaik adalah menuduh kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan juga pertuduhan pilihan atau alternatif di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.

Keduanya, bagi mangsa yang terlibat mereka hanya boleh mendapat pampasan daripada tindakan sivil terhadap pihak tertuduh dan dibayar oleh insurans. Namun ia mengambil masa lama dan kos.

Adalah lebih adil jika ada pindaan kepada peruntukan undang-undang yang mana pembayaran pampasan boleh diperintahkan apabila sabitan dibuat terhadap tertuduh.
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dalam rencana bertajuk Diat kematian kemalangan jalan raya dalam realti perundangan Malaysia mencadangkan diat atau pampasan kepada pihak mangsa dengan menyatakan:

Konsep diat merupakan mekanisme pampasan dalam kes pembunuhan tidak sengaja (qatl al-khata’). Asas pensyariatannya jelas dinyatakan dalam al-Quran: “Dan tidaklah patut bagi seorang mukmin membunuh seorang mukmin lain, kecuali kerana tersalah. Dan sesiapa membunuh seorang mukmin kerana tersalah, maka hendaklah ia memerdekakan seorang hamba mukmin dan membayar diat yang diserahkan kepada keluarganya, kecuali jika mereka bersedekah (memaafkan).” – Surah al-Nisa’ (4:92)

Jika diat dilaksanakan hanya kepada orang Islam, timbul persoalan kesaksamaan di bawah Perkara 8 Perlembagaan. Jika dilaksanakan kepada semua warganegara sebagai mekanisme pampasan sivil, ia perlu dirangka dalam bentuk neutral dan tidak diskriminatif. Tanpa kejelasan ini, risiko ketegangan antara komuniti boleh meningkat. Diat boleh dilaksanakan terhadap Muslim dan Non-Muslim.

Oleh itu, pendekatan yang lebih realistik adalah melihat diat sebagai inspirasi normatif dalam reformasi sistem pampasan, bukan sebagai penggantian total kepada sistem sivil.

Sekiranya isu pampasan kematian dibawa ke mahkamah secara litigasi penuh, beberapa implikasi strategik perlu dinilai; i) Proses mahkamah boleh mengambil masa bertahun-tahun, terutama jika melibatkan rayuan, ii) Kos guaman dan kos peluang meningkat, menambah beban kepada keluarga mangsa iii) Ketegangan sosial: Litigasi bersifat adversarial, berpotensi menambah luka emosi dan konflik.

Sebaliknya, mekanisme pampasan berstruktur yang berasaskan prinsip seperti diat boleh mempercepat penyelesaian. Islam tidak memandang ringan nyawa manusia. Namun dalam negara majmuk seperti Malaysia, pelaksanaan prinsip ini mesti selaras dengan perlembagaan, kesaksamaan dan keharmonian.

Ketiga, pihak penggubal perlu menggubal undang- undang bagi menambah kebaikan undang-undang sedia ada sesuai dengan keadaan. Leow Mei Lee v Attorney General & Ors. LP Azlan Shah (semasa itu) menyatakan-“Undang-undang mesti dilhamkan pada kepastian, keadilan dan progresif.”

Oleh itu, undang-undang mestilah diwujudkan bagi menyelesaikan masalah sosial demi kepentingan awam bersesuaian dengan konsep kedaulatan undang-undang (Rule of Law).

Dengan demikian tiga perkara dinyatakan di atas dicadangkan bagi menyelesaikan keresahan masyarakat bagi isu pemanduan di bawah pengaruh alkohol serta dadah yang menyebabkan kematian bagi mangsa yang tidak bersalah dan trauma kepada keluarga mangsa.

DATUK SYED AZIMAL AMIR SYED ABU BAKAR ialah pengamal undang-undang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN