PETALING JAYA: Seorang bekas pengerusi sebuah kuil ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan dana kuil berjumlah kira-kira RM50,000.
Penahanan suspek lelaki berusia 70-an itu dilakukan kira-kira pukul 3 petang pada 2 April lalu ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor dekat sini.
Sumber berkata, suspek disyaki melakukan perbuatan itu pada November 2021.
Katanya, suspek turut bersubahat dengan seorang lagi individu yang ditahan pada Mac lalu dengan mengemukakan invois tuntutan bayaran perkhidmatan konsultansi berjumlah RM50,000 bagi tujuan kerja-kerja pembaikan kuil.
“Bagaimanapun, kerja-kerja tersebut dipercayai tidak pernah dilaksanakan dan hanya helah untuk mengelirukan pihak pengurusan kuil,” katanya hari ini.
Dedahnya, siasatan tertumpu kepada kuil yang dikatakan telah wujud sejak 1950 dan sumber kewangan utama adalah melalui sumbangan serta derma daripada penganut yang beribadah.
Katanya, pendaftaran kuil tersebut dibatalkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada Oktober 2024 dan ia juga didapati dibina atas tanah kerajaan tanpa kebenaran.
“Keadaan kuil yang tidak berdaftar menyebabkan ketiadaan pemantauan oleh pihak berkuasa terhadap pengurusan kewangan dan perbelanjaannya, sekali gus membuka ruang kepada berlakunya penyelewengan dana sumbangan orang awam.
“Penyelewengan ini dipercayai telah memberi kesan kepada operasi serta kebajikan kuil, termasuk menjejaskan aktiviti keagamaan dan kepercayaan penganut terhadap pengurusan institusi tersebut,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd. Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan tangkapan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
“Kedua-dua suspek akan dituduh dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN










