Banyak aduan p-hailing langgar lampu isyarat - Utusan Malaysia

Banyak aduan p-hailing langgar lampu isyarat

AEDY Fadly Ramli (kanan) ketika meninjau Operasi Khas Op Patuh Covid-19 di Jalan Sultan Azlan Shah Utara, Ipoh. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Aduan membabitkan penunggang perkhidmatan penghantaran makanan (p-hailing) melanggar lampu isyarat merupakan aduan terbanyak yang direkodkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, perbuatan itu dilakukan kerana penunggang p-hailing mengejar masa untuk tiba ke lokasi pelanggan sebelum mengambil pesanan seterusnya.

Katanya, penunggang p-haiiling boleh dikenakan saman sehingga RM300 jika dikesan melakukan kesalahan tersebut.

“Kita mendapat aduan kebanyakannya membabitkan langgar lampu isyarat. Mereka ini mengejar ‘trip’ semasa hantar makanan, jadi langgar lampu merah untuk cepat sampai.

“Selain langgar lampu isyarat, aduan yang kita terima adalah membabitkan kesalahan masuk lorong sehala (menunggang lawan arus) dan aksesori motosikal tidak lengkap misalnya tiada dua cermin sisi motosikal,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau Operasi Khas Op Patuh Covid-19 di Jalan Sultan Azlan Shah Utara di sini hari ini.

Menurut beliau, walaupun banyak aduan mengenai kesalahan trafik oleh p-hailing diterima daripada orang awam, pihaknya sukar mengambil tindakan ekoran tiada bukti dan maklumat lengkap.

Katanya, kebanyakan aduan yang diterima tidak disertakan gambar yang jelas, nombor pendaftaran kenderaan, masa dan tarikh kejadian serta butiran diri pengadu.

“Apabila kita terima maklumat lengkap barulah kita boleh keluarkan notis temu siasat. Setelah kita tunjuk gambar dan mereka mengaku, barulah tindakan kompaun diambil.

“Kebanyakan aduan yang kita terima adalah melalui laman media sosial JPJ dan e-mel. Bagaimanapun, ia tidak lengkap sebab mereka (pengadu) tidak beri maklumat diri, takut dipanggil (bantu siasatan),” katanya.

Tambah beliau, JPJ sentiasa mengadakan program advokasi kepada penunggang p-halling seluruh negara bagi memastikan mereka patuh kepada peraturan jalan raya semasa menjalankan tugas.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, beliau berkata, sebanyak 65 notis kesalahan dikeluarkan dalam operasi yang dijalankan hari ini bermula pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari.

“Kesalahan paling banyak dikesan adalah tiada lesen memandu sebanyak 41 kes, tiada lesen memandu kenderaan barangan (GDL) (3), tiada perlindungan insurans (9), gagal pamer plat P dan L (5) dan cermin gelap (6),” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN