Bandar Damansara Kuantan 'diserang' kera - Utusan Malaysia

Bandar Damansara Kuantan ‘diserang’ kera

SEEKOR kera bertenggek di atas pagar rumah penduduk dan menunjukkan taringnya apabila disergah di Bandar Damansara Kuantan di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kehadiran sekumpulan kera berkeliaran setiap hari menimbulkan keresahan penduduk di Bandar Damansara Kuantan, di sini.

Ancaman atau ‘serangan’ haiwan liar itu bukan sahaja menjejaskan peralatan dan kelengkapan di kawasan perumahan tersebut malah menimbulkan kebimbangan kera terbabit bertindak ganas terhadap penduduk khususnya membabitkan kanak-kanak.

Gangguan itu bukan baharu sebaliknya hampir setengah tahun berlaku namun sejak kebelakangan ini, keadaan menjadi lebih teruk dan membimbangkan.

Seorang penduduk, Datuk Haffizan Rizal Abd. Halim berkata, kehadiran hidupan liar itu sudah lama dan semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.

Katanya, kawanan kera kerap muncul pada waktu tengahari untuk mencari makanan dan menyelongkar tong sampah yang dipercayai datang dari hutan berdekatan.

“Kumpulan haiwan liar ini juga memasuki hadapan halaman rumah penduduk dan bertenggek di atas pagar dan bumbung rumah.

“Apabila disergah, ada antara kera menunjukkan taring tajamnya sekali gus menyebabkan penduduk berasa tidak selamat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Haffizan Rizal berkata, penduduk mendesak pihak berkenaan terutama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memandang serius isu ‘serangan’ kera tersebut.

Katanya, penduduk berharap pihak berkenaan segera menangkap sejumlah besar kera yang berkeliaran di kawasan taman perumahan di situ.

“Kami berharap Perhilitan bertindak sewajarnya bagi mengatasi masalah penduduk di sini sebelum berlaku sebarang kejadian yang lebih buruk lagi seperti penduduk cedera diserang kera,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya