Aliran puing ancam kawasan lain - Utusan Malaysia

Aliran puing ancam kawasan lain

SEORANG penduduk menunjukkan keadaan rumah yang ranap teruk dilanda kepala air deras dan banjir kilat di Jalan Batu Hampar, Yan. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bencana geo­logi yang berlaku di Gunung Jerai, Yan, Kedah, pada 18 Ogos lalu boleh berlaku di kawasan lain jika tiada langkah membendung seperti teknik kawalan aliran lumpur dilakukan.

Kejadian itu mempunyai persamaan dengan tragedi Pos Dipang, Kampar, Perak pada 1996 yang meragut banyak nyawa penduduk setempat.

Pakar Geobencana, Datuk Dr. Ibrahim Komoo berkata, hujan lebat berpanjangan menyebabkan tanah runtuh serta empangan sementara yang mengumpul batu, air dan kayu pecah.

Beliau berkata, perkara sama berlaku di Pos Dipang sekali gus mengatakan istilah ‘kepala air’ tidak tepat sebaliknya ia adalah ‘aliran puing’ kerana kejadian kepala air tidak melibatkan ta­nah runtuh.

“Kejadian aliran puing yang berlaku di Jerai hampir sama dengan yang terjadi di Pos Dipang, namun apa yang berlaku di Jerai mungkin berulang dalam tempoh 20 hingga 50 tahun lagi.

“Tempat tersebut selamat buat masa ini kerana di kawasan itu sudah bersih, tetapi di kawasan lain perkara sama sedang menanti untuk berlaku. Oleh itu penilaian risiko perlu ditekankan di tempat lain berbanding kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Kejadian banjir lumpur di kawasan kaki Gunung Jerai itu menyebabkan beberapa kampung terjejas di Yan, Gurun dan Tupah, selain meragut lima nyawa.

Sementara itu, dalam kejadian banjir lumpur yang berlaku di Penempatan Orang Asli Pos Dipang, pada 22 Ogos 1996, 44 mangsa terkorban, 39 ditemukan manakala lima lagi hilang.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Kedah/Perlis/Pulau Pinang, Abdullah Sulaiman berkata, kejadian di Gunung Jerai berlaku disebabkan gabungan beberapa faktor geologi termasuk tanah runtuh dan aliran puing serta lumpur.

Menurut Ibrahim, penilaian risiko perlu dilakukan di semua sungai-sungai di kawasan pergunungan di negara ini lebih-lebih lagi sekiranya terdapat aktiviti manusia di kawasan kaki bukit kerana kejadian banjir lumpur bukan pertama kali terjadi.

Beliau yang turut menjalankan kajian pada peristiwa Pos Dipang 25 tahun lalu berkata, bagi mengelakkan masalah sama berlaku, Malaysia perlu mencontohi teknik kawalan aliran lumpur yang
dilakukan oleh Jepun dan Indonesia iaitu empangan kecil yang dibuat di sepanjang sungai bagi meme­rangkap aliran puing.

“Sekiranya hal tersebut mampu dilakukan secara berperingkat atau pembangunan dielakkan di kawasan-kawasan berisiko tinggi, kejadian seperti ini dapat dielakkan dari berlaku di masa hadapan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya