PUTRAJAYA: Menteri Wilayah Persekutuan yang baharu, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim akan meneruskan agenda sedia ada yang digerakkan kementerian itu demi kesejahteraan 1.6 juta penduduknya.
Beliau memberi jaminan semua perancangan yang disusun oleh penyandang menteri terdahulu, Tan Sri Annuar Musa diteruskan seperti biasa.
“Insya-Allah, semua dasar yang sedia ada itu akan diteruskan macam biasa, bahkan kami hadir dalam Kabinet untuk bekerjasama sebagai satu pasukan yang bersepadu,” jelas beliau.
Ahli Parlimen Arau itu menyatakan demikian dalam sidang akhbar sulungnya selepas hadir melapor diri di kementerian itu di Menara Seri Wilayah, Presint 1, hari ini.
Beliau hadir pukul 6 petang sebelum mengimbas kad perakam masa setelah mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Yang hadir sama timbalan beliau, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang juga Ahli Parlimen Jelebu.
Mereka berdua kemudian menghadiri taklimat oleh Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Seri Rosida Jaafar sebelum beramah mesra dengan para pegawai kanan.
Mengulas lanjut, Shahidan menegaskan, sepanjang tempoh 100 hari pertama ini, beliau menyambung segala polisi yang dirancang dan diperkenal oleh Annuar sejak tahun lalu.
“Saya tiada masalah pun dengan beliau yang juga sahabat karib saya sendiri. Dengan sokongan semua pihak, kami erus membangunkan Wilayah Persekutuan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE