Dua kereta musnah disyaki dibakar orang suruhan ah long

Dua kereta musnah disyaki dibakar orang suruhan ah long

DUA buah kereta musnah selepas dipercayai dibakar seorang wanita dalam kejadian di Taman Sri Permai, Kluang, Johor pada Jumaat lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Dua buah kereta yang diletakkan di hadapan sebuah rumah di Taman Sri Permai di sini musnah dalam kebakaran dipercayai dilakukan oleh orang suruhan ah long.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada pukul 5.30 pagi pada Jumaat (5 September) yang dipercayai berlaku pada pukul 3.30 pagi hari sama.

Katanya, menurut laporan, pengadu mengatakan ada mendengar objek dibaling ke pekarangan hadapan rumahnya sebelum pemeriksaan mendapati ada kebakaran dua buah kereta iaitu kereta Honda HRV dan kenderaan pelbagai guna Toyota Velfire serta sekeping nota berupa ugutan kepada mangsa ditemui ditempat kejadian.

“Susulan daripada kejadian itu, pada pukul 3 pagi semalam (6 September) sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor serta Ibu Pejabat Daerah (IPD) Muar telah menahan seorang wanita berusia 46 tahun di Bandar Sri Alam, Masai.

“Siasatan mendapati tangkapan tidak mempunyai rekod jenayah lampau selain ujian saringan air kencing tidak mendapati sebarang pengaruh dadah,” katanya melalui kenyataan malam tadi.

Menurut Bahrin lagi, tangkapan kini dikenakan tahanan reman selama tujuh hari sehingga 12 September dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 14 tahun dan denda.

Ujarnya, kes juga akan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dengan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN