SEPANG: Sejumlah 8,856 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah pulang ke negara masing-masing melalui kaunter khas Program Rekalibrasi Pulang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.
Angka tersebut adalah dari tempoh 5 hingga 31 Julai lalu dengan hanya melibatkan kaunter khas di lapangan terbang antarabangsa itu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya memulakan operasi lapan kaunter di KLIA2 pada Khamis ini sebagai tambahan kepada 20 kaunter sedia ada di KLIA berikutan sambutan menggalakkan yang diterima.
Beliau berkata, pelaksanaan kaunter khas itu juga dibuat di pintu antarabangsa lain dengan menyaksikan pembukaan kaunter di Pasir Gudang Johor dan Pelabuhan Klang, Selangor mulai 15 Ogos ini.
Menurutnya, kaunter khas juga beroperasi di Stulang Laut, Johor semalam dengan seramai 109 orang PATI dihantar pulang setakat ini.
“Di KLIA pula, Jabatan Imigresen dengan kerjasama Malaysia Airport Berhad mengambil langkah membuka 20 kaunter di tempat letak kereta Aras 2, Blok B berikutan rungutan kesesakan dan kelewatan pemprosesan dokumen sebelum ini.
“Kaunter tambahan baharu ini mula beroperasi sejak Sabtu lalu dan setakat ini, Jabatan Imigresen tidak lagi menerima laporan terlepas penerbangan dan lain-lain,” katanya dalam sidang akhbar selepas membuat lawatan di kaunter tambahan Program Rekalibrasi Pulang PATI di KLIA di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata, ruang menunggu lebih luas dengan kapasiti 800 hingga 1,000 orang yang disediakan di kawasan kaunter membolehkan penjarakan fizikal diamalkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Pelbagai kemudahan lain seperti industrial fan bagi memberikan ventilasi udara lebih baik, kiosk menjual makanan, perkhidmatan fotostat dan surau juga menjamin keselesaan PATI yang menunggu giliran masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Khairul Dzaimee berkata, sejumlah 107,524 PATI mendaftar dalam program itu setakat ini sejak dilaksanakan pada 21 Disember tahun lalu dengan 88,034 telah dihantar pulang membabitkan jumlah kompaun sebanyak RM52,087,000.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap mereka yang melanggar Akta dan Peraturan-Peraturan Imigresen.
“Ini kerana kehadiran pekerja-pekerja asing tanpa dokumen sah menyebabkan kehilangan hasil levi kepada kerajaan kira-kira RM130 juta setahun,” katanya.









