Papan Pemuka MA63 dilancarkan hujung bulan ini

Papan Pemuka MA63 dilancarkan hujung bulan ini

MUSTAPHA SAKMUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Orang ramai boleh mengakses Papan Pemuka (Dashboard) Status Terkini Perkara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bermula hujung bulan ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, ia merupakan usaha meningkatkan ketelusan dan akses perkembangan pelaksanaan MA63 kepada rakyat khususnya berkaitan tuntutan 40 peratus hak Sabah.

“Timbalan Perdana Menteri, Datuk Fadillah Yusof telah bersetuju supaya Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS), Jabatan Perdana Menteri (JPM) membangunkan Dashboard Status Terkini Perkara di bawah MA63 yang dijangka boleh diakses melalui Portal Rasmi BHESS, JPM pada penghujung Januari 2026,” katanya menerusi perutusan Tahun Baharu 2026 hari ini.
Mustapha berkata, pelaksanaan MA63 terus diperkukuh menerusi platform rundingan yang lebih tersusun dan dipengerusikan secara langsung oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, sebanyak 29 perkara berkaitan MA63 telah dibincangkan melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) dengan 13 perkara berjaya diselesaikan, sekali gus mencatat pencapaian terbaik berbanding kerajaan terdahulu.
“Baki 16 perkara lagi kini sedang dirunding secara berterusan antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak melalui MTPMA63 dan Jawatankuasa Teknikalnya dengan pemantauan rapi oleh BHESS, JPM selaku sekretariat bersama semua pihak berkepentingan.

“BHESS juga akan meneruskan usaha untuk mengadakan sesi libat urus dengan kementerian serta agensinya, pihak industri, akademia, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak-pihak berkaitan untuk memantapkan pelaksanaan MA63,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN