ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas boleh dipertimbangkan untuk mengetuai Perikatan Nasional (PN).
Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yahaya berkata, beliau bersetuju dengan perkara itu yang didakwanya turut mendapat cadangan pelbagai pihak bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“1 Januari 2026. Saya nampak banyak pihak cadang YAB (Yang Amat Berhormat) Sanusi sebagai Pengerusi PN. Cadangan yang menarik, saya setuju,” katanya di akaun Facebook miliknya hari ini.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, Muhammad Sanusi merupakan seorang ahli politik yang amat dikenali dan mudah didekati.
Katanya, Pengerusi PN Kedah itu juga diterima rakyat pelbagai latar belakang dan mampu meraih sokongan anak muda.
“Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti, pengundi muda jadi penentu dan Sanusi turut digeruni lawan dan memahami situasi politik negara,” katanya.
PN kini tidak memiliki nakhoda ekoran pengunduran Muhyiddin sebagai Pengerusi PN yang berkuatkuasa hari ini, akibat kemelut dalaman antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.
Peletakan jawatan beliau turut disusuli dengan pengosongan jawatan Setiausaha Agung PN oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan beberapa Pengerusi PN negeri yang disandang pemimpin Bersatu. – UTUSAN










