PUTRAJAYA: Sebanyak 19,362 kes positif Covid-19 yang bersamaan 82.2 peratus daripada 23,564 kes hari ini, dilaporkan tidak menerima atau tidak lengkap vaksinasi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes harian itu juga, sebanyak 431 kes bersamaan 1.8 peratus adalah daripada kategori tiga, empat dan lima manakala sebanyak 23,133 kes bersamaan 98.2 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
Katanya, semua penduduk di negara ini yang belum menerima vaksin Covid-19 diminta segera mendapatkannya bagi mengurangkan risiko jangkitan yang serius maka pengambilan vaksin diharapkan itu mengurangkan jangkitan di dalam negara terutama kes di kategori tiga hingga lima.
“Berdasarkan data terkini sehingga semalam, nilai RT Malaysia adalah sebanyak 1.04 melibatkan negeri yang mencatatkan nilai RT yang tertinggi adalah Perlis (nilai RT 1.31), diikuti Sabah (nilai RT 1.22) dan Sarawak (nilai RT 1.21).
“Semua negeri mencatatkan RT melebihi 1.0 kecuali Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, dan Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas mengenai 233 kematian, beliau berkata, Selangor terus menjadi penyumbang terbanyak iaitu 101 kes, 31 kes di Kuala Lumpur, 23 kes di Johor, 17 kes di Sabah, 16 kes di Perak, 15 kes di Pulau Pinang, 11 kes di Negeri Sembilan, sembilan kes di Kedah, empat kes di Terengganu, serta masing-masing tiga kes di Kelantan dan Pahang.
“Kematian melibatkan 131 lelaki dan 102 perempuan, 34 warga asing, 60 termasuk 16 warga asing berkaitan kes meninggal dunia di rumah dan 177 pesakit mempunyai pelbagai latar belakang penyakit,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan 38 kluster baharu, Noor Hisham berkata, tempat kerja mencatatkan 22 kluster, 14 kluster komuniti manakala pendidikan lain dan pendidikan swasta, masing-masing satu kluster.
Kluster tempat kerja katanya, tujuh di Selangor, empat di Pulau Pinang, empat di Johor manakala Kelantan dan Perak, masing-masing dua kluster serta Sabah dan Sarawak, masing-masing satu kluster.
“Bagi kluster komuniti, lima di Kelantan, lima di Sarawak, dua di Pahang, manakala Perak dan Selangor, masing-masing satu kluster.
“Kluster pendidikan lain pula, satu di Kelantan manakala kluster pendidikan swasta, satu di Kelantan juga,” katanya. – UTUSAN ONLINE