PETALING JAYA: Kira-kira 6,500 kakitangan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bakal menerima suntikan vaksin melalui Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam Swasta (Pikas) di Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) melalui tiga buah kem induk sekitar negeri-negeri di Pantai Timur.
Ia adalah usaha mempercepat proses vaksinasi dalam sektor pembinaan dan pengangkutan.
Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak yang juga Ahli Lembaga Pengarah Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) berkata, beliau bersyukur petugas khas imunisasi Covid-19 (CITF) yang meluluskan permohonan cadangan penggunaan tiga kem induk ECRL untuk beroperasi sebagai PPVIN.
Beliau berkata, kelulusan tersebut membolehkan pemberian suntikan dos pertama kepada pekerja-pekerja ECRL pada bulan ini.
“MRL bersama-sama kontraktor utama projek ECRL, China Communications Construction (ECRL) Sdn. Bhd. (CCC-ECRL) akan menanggung semua kos proses vaksinasi bagi pekerja-pekerja ECRL termasuk caj penyediaan PPVIN dan yuran pentadbiran kepada pihak yang terlibat (am dan swasta),” katanya dalam satu kenyataan.
Isham berkata, selari dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), projek ECRL akan menjadikan vaksinasi pandemik Covid-19 sebagai perkara wajib untuk seluruh pekerja dan sebagai prasyarat bagi pekerja baharu yang bekerja di bawah projek itu pada masa akan datang.
Katanya, MRL dan CCC-ECRL sedar kepenting bsemua kakitangan projek ECRL mendapat imunisasi secepat mungkin kerana ia memberi impak yang positif terhadap kerja-kerja pembinaan yang kini bertumpu di 164 lokasi utama termasuk pengorekan 10 buah terowong.
“Kami berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana memberi vaksin percuma kepada rakyat dan pada masa sama memberi peluang kepada projek ECRL untuk meningkatkan kesedaran vaksinasi dalam kalangan tenaga kerjanya,” katanya. – UTUSAN ONLINE










