JOHOR BAHRU: Seramai 53,744 individu dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) berusia 18 tahun ke atas di negeri ini telah mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksinasi Covid-19 setakat 15 Ogos lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Zaiton Ismail berkata, jumlah pendaftaran paling ramai yang direkodkan adalah di Johor Bahru iaitu seramai 15,401 orang, diikuti Batu Pahat (8,065 orang) dan Muar (5,619 orang).
“Kita berharap agar lebih ramai lagi anggota keluarga kepada individu OKU membantu mendaftarkan golongan ini dari masa ke semasa agar mereka juga tidak ketinggalan mendapatkan vaksinasi.
“Sehubungan itu kita menyeru golongan sasar untuk memanfaatkan pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu OKU Sentral di Pusat Akuatik Arena Larkin di sini,” katanya di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu OKU Sentral di Pusat Akuatik Arena Larkin, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE