SEREMBAN: Seramai 50,524 pekerja sektor industri di Negeri Sembilan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin melalui Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Program Imunisasi Industri Covid-19 Awam-Swasta (Pikas) yang dibuka di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab Malek berkata, 19,296 daripada jumlah pekerja tersebut pula telah melengkapkan suntikan vaksin dos kedua.
“PPV Pikas d’Tempat Country Club, Sendayan yang beroperasi sejak 5 Julai lalu sehingga semalam telah memberi 38,636 suntikan dos pertama dan 19,296 suntikan dos kedua kepada pekerja industri di negeri ini.
“PPV Pikas D’Cattleya, Senawang yang mula beroperasi pada 2 Ogos pula telah memberi suntikan dos pertama kepada 11,888 pekerja setakat semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Mohamad Rafie, untuk rekod sehingga Jumaat lalu, sebanyak 615 syarikat dengan sejumlah 55,315 pekerja di Negeri Sembilan mendaftar bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk pengvaksinan di bawah Program PPV-Pikas.
“Program pengvaksinan untuk pekerja industri di Negeri Sembilan berjalan lancar yang mana majoriti pekerja menerima suntikan dos pertama.
“Dijangka menjelang pertengahan September ini, hampir semua pekerja industri di Negeri Sembilan bakal melengkapkan dua dos suntikan vaksin,” katanya. – UTUSAN ONLINE










