REMBAU: Empat lelaki ditangkap polis dalam tujuh serbuan di sekitar perkampungan tradisi di daerah ini sempena Op Laras, malam semalam.
Operasi berkenaan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Sembilan bersama Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) dan Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis (IPD) Rembau.
Ia bermula pukul 10.45 malam hingga tengah malam semalam.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden, Hazri Mohamad berkata, empat suspek berusia 31 hingga 42 tahun itu kini ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
“Terdapat tujuh serbuan dijalankan seperti di Kampung Batang Nyamor; Padang Lebar, Kendong dan Ulu Gadong. Polis telah menemui senjata buatan sendiri di empat lokasi serbuan.
“Serbuan pertama iaitu di Kampung Batang Nyamor pada pukul 10.45 malam, suspek berusia 42 tahun ditangkap polis dan polis merampas pelbagai barangan yang ditemui di lokasi serbuan.
“Antara dirampas adalah selaras senapang angin buatan sendiri berwarna hitam, satu bekas mengandungi steel balls size 5/16 jenama Winwheel, satu unit mesin pemotong besi jenama Tailin, sebuah tabung gas yang di ubah suai dan tukul kimpalan,” katanya hari ini.
Hazri berkata, serbuan kedua pada pukul 11.10 malam juga di lokasi perkampungan yang sama membawa kepada penangkapan lelaki berusia 34 tahun dan polis menemukan satu laras senapang angin buatan sendiri berhulu kayu.
Menurutnya, serbuan ketiga pula pada pukul 11.30 malam juga di perkampungan sama membawa kepada penemuan satu laras senapang angin buatan sendiri berhulu kayu, satu beg kecil warna merah jambu di dalamnya mengandungi 44 bebola besi dan sehelai seluar warna hijau.
“Dalam serbuan ketiga ini, seorang lelaki berusia 31 tahun telah ditangkap. Serbuan keempat pula di Kampung Padang Lebar, Kendong pada tengah malam membawa kepada penemuan pelbagai jenis peluru dan juga selaras senapang buatan sendiri.
“Dalam serbuan keempat berkenaan, seorang lelaki berusia 45 tahun ditangkap bagi membantu siasatan. Selain senapang buatan sendiri yang dirampas, pelbagai peluru turut dirampas antaranya satu kotak peluru berwarna putih, 23 butir peluru berwarna putih Jenis Lg 67 mm dan satu kotak peluru warna Kelabu Jenis Winchester X Super, ” katanya.
Tambah beliau, turut dirampas dalam serbuan keempat itu adalah sehelai sarung celoreng askar.
“Tiga lagi lokasi serbuan bagaimanapun tidak menemukan apa-apa barangan salah,” katanya. – UTUSAN ONLINE
.