Diesel: Industri binaan negara bakal terjejas

Diesel: Industri binaan negara bakal terjejas

MOHD. ROSDI AB. AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Industri pembinaan negara termasuk projek-projek kerajaan melibatkan kepentingan rakyat bakal terjejas berikutan kenaikan harga diesel ketika ini disifatkan di tahap ‘luar biasa’ sehingga menekan kontraktor ke titik paling kritikal.

Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mohd. Rosdi Ab. Aziz berkata, sebahagian besar kontraktor Melayu hampir ‘menyerah kalah’ akibat kos operasi yang melonjak.

“Dengan harga diesel sekitar RM6.02 seliter hari ini, ramai kontraktor sudah tidak mampu bertahan. Kenaikan berperingkat sebelum ini menjadikan beban semakin parah.

“Kesan kenaikan itu bukan sahaja tertumpu kepada bahan bakar, malah menular ke seluruh rantaian industri pembinaan termasuk kos sewa peralatan, jentera pembinaan dan harga bahan binaan yang meningkat secara mendadak.

“Semua naik, contohnya harga simen di Kuala Lumpur sekitar RM24 sebelum ini sudah mencecah sehingga RM30. Begitu juga sewa jentera seperti jengkaut yang naik antara 40 hingga 60 peratus dari dari RM450 kepada RM650 hingga RM700,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Mohd. Rosdi berkata, impak paling besar bakal dirasai rakyat apabila projek kerajaan yang melibatkan kepentingan mereka berisiko tergendala atau terbengkalai.

“Kalau kontraktor berhenti kerja, projek rakyat juga terhenti. Ini bukan sahaja isu industri, tetapi kepentingan awam. Hampir 41,000 kontraktor di negara ini berisiko ‘gulung tikar’ jika kerajaan tidak melaksanakan segera langkah intervensi menyeluruh,” katanya.

Katanya,, antara pendekatan yang boleh dilakukan adalah mengaktifkan semula mekanisme pelarasan harga kontrak akibat perubahan kos (VOP) bagi semua item bahan binaan.

Katanya, ia membolehkan kontraktor menerima pelarasan harga apabila berlaku kenaikan kos dan pada masa sama kerajaan membuat penyesuaian semula sekiranya harga menurun.

“Pendekatan ini lebih adil kepada kedua-dua pihak kerana ia mengambil kira turun naik harga bahan binaan berdasarkan data semasa. Selain itu, kerajaan perlu menyemak semula kadar jadual harga kerja khususnya bagi kontraktor kecil kategori G1 hingga G4.

“Langkah ini penting bagi memastikan projek tidak terhenti akibat ketidakmampuan kontraktor menanggung kos semasa yang semakin meningkat,” katanya.

Menurut beliau, PKMM turut mencadangkan kerajaan mempertimbang pemberian lanjutan masa (EOT) kepada projek yang terjejas secara langsung akibat kenaikan harga bahan dan gangguan rantaian bekalan.

Mengimbas pengalaman semasa pandemik Covid-19, beliau berkata, kerajaan sebelum ini bertindak pantas dengan pelbagai inisiatif bagi menstabilkan industri, namun pendekatan serupa belum dilihat dalam situasi semasa walaupun disedari kerajaan mengambil perhatian melalui mesyuarat dan perbincangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN