36 pegawai, anggota bomba Johor positif Covid-19

36 pegawai, anggota bomba Johor positif Covid-19

YAHAYA Madis (kanan) dan Dr. Aman Rabu (dua dari kanan) melihat seorang penduduk menerima suntikan vaksin ketika Program Vaksin Bergerak kerjasama JBPM Johor dan JKNJ di Taman Jaya, Skudai, Johor. - FOTO/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 36 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor dijangkiti Covid-19 sejak pandemik ini melanda negara bermula Mac tahun lalu dengan sembilan daripadanya masih menerima rawatan sehingga kini.

Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis berkata, majoriti warga JBPM Johor yang dijangkiti Covid-19 dikategorikan Kelas 1 iaitu sama ada tidak bergejala atau kurang bergejala.

“Dalam tempoh sama, seramai 587 pegawai dan anggota JBPM Johor telah dikuarantin kerana menjadi kontak rapat pesakit Covid-19, termasuklah saya dan Timbalan Pengarah.

“Anggota yang positif tidak melibatkan jangkitan dalaman daripada balai bomba sendiri sebaliknya jangkitan daripada ahli keluarga, masyarakat ataupun mangsa yang diselamatkan. Syukur sepanjang tempoh pandemik ini, tiada warga kerja JBPM Johor yang dilaporkan maut akibat wabak Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat pelaksanaan Program Vaksin Bergerak kerjasama JBPM Johor dengan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) di Balai Raya Taman Jaya, Skudai, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Aman Rabu.

Selain itu, Yahaya berkata, sejak Mac 2020, JBPM Johor juga terpaksa menutup kira-kira 10 buah balai bomba di seluruh negeri selepas terdapat anggota yang positif di balai berkenaan.

“Balai pertama yang ditutup adalah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam manakala yang terakhir ditutup adalah BBP Punggai. Penutupan itu hanya satu hari bertujuan untuk kerja-kerja sanitasi dan penyusunan jadual kerja melibatkan pegawai dan anggota daripada balai berhampiran,” ujarnya.

Sementara itu, JBPM Johor komited membantu JKNJ dalam melaksanakan operasi berkaitan dalam melawan pandemik Covid-19 di negeri ini selain terlibat dalam pelaksanaan kerja-kerja sanitasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Yahaya berkata, pihaknya turut menggerakkan aset dimiliki mereka termasuk sebuah bas bagi dijadikan kemudahan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak dan ambulan EMRS untuk pengangkutan pesakit.

“Bas pameran yang kita miliki, kita tawarkan kepada JKNJ untuk dijadikan PPV bergerak, dan setakat ini ia sudah digerakkan ke dua lokasi, minggu lalu di Kampung Melayu manakala hari ini di Taman Jaya, Skudai.

“Hari ini, seramai 720 penduduk sekitar Taman Jaya, Kampung Sepakat dan Kampung Laut di sini menerima suntikan mereka, jadi mereka tidak perlu keluar untuk ke PPV. Perkhidmatan ini sedia dilanjutkan ke seluruh negeri mengikut keperluan JKNJ,” katanya.

Sementara itu, ujar beliau, sebanyak 18 ambulans EMRS milik JBPM Johor telah digerakkan di seluruh negeri untuk membantu mengangkut pesakit termasuklah pesakit Covid-19 serta membantu menguruskan tiga jenazah pesakit Covid-19. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN