PORT DICKSON: Kira-kira 30 peratus hotel di Negeri Sembilan kembali beroperasi dan dibuka selepas negeri ini beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak 26 Ogos lalu.
Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel Malaysia (MAH) Negeri Sembilan, Haziz Hassan berkata, jumlah berkenaan daripada 35 buah hotel yang menjadi ahli persatuan tersebut di seluruh negeri ini.
Jelas beliau, hotel selebihnya akan dibuka secara berperingkat pada 1 September ini.
“Kami tidak mahu terkejar-kejar untuk membuka semua hotel. Jika ada hotel yang mempunyai 200 bilik kemungkinan mereka hanya membuka 100 bilik.
“Kami juga khuatir jika berlaku lagi penularan Covid-19 sehingga boleh menjejaskan semula sektor pelancongan di negeri ini. Sehubungan itu, kami akan memastikan hotel-hotel beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat serta akan sentiasa menjalankan proses sanitasi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program pengagihan bakul makanan kepada kakitangan hotel dan resort sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-64, di sini hari ini.
Sebanyak 300 bakul makanan diagihkan kepada wakil-wakil hotel yang merupakan ahli MAH di negeri ini.
Sementara itu, Haziz memaklumkan, kira-kira 90 peratus daripada sejumlah 3,000 pekerja industri hotel dan pelancongan di negeri ini telah lengkap menerima vaksin Covid-19.
“Dalam bulan September dijangka kesemua pekerja hotel yang terlibat akan sepenuhnya mendapatkan dua dos vaksin.
“Sekiranya mereka (pekerja hotel) masih satu dos kami tidak membenarkan mereka untuk hadir bekerja,” katanya. – UTUSAN ONLINE