PETALING JAYA: Hak pendidikan di Palestin terus dinafikan apabila sekolah-sekolah menjadi sasaran pendudukan Israel sehingga menyebabkan ia ditinggalkan tanpa pelajar.
Kementerian Pendidikan dan Pendidikan Tinggi Palestin berkata, pendudukan Israel terus berterusan dengan dasar-dasar yang bertujuan merampas hak pelajar terutama daripada komuniti terpinggir dan Badwi.
Katanya, sasaran dilakukan secara langsung terhadap sekolah-sekolah komuniti tersebut termasuk Sekolah Shallal al-Auja di bawah Pentadbiran Pendidikan Jericho yang tidak lagi dihadiri oleh para pelajarnya.
“Selepas bertahun-tahun mengalami keganasan yang berterusan oleh Israel, penduduk komuniti setempat telah dipaksa berpindah, sekali gus menyebabkan sekolah komuniti tersebut ditinggalkan tanpa pelajar.
“Menolak dasar pengosongan sekolah daripada pelajar, Pentadbiran Pendidikan Jericho telah mengerahkan usaha besar untuk memastikan sekolah itu terus beroperasi, termasuk meminta pengetua dan para guru hadir ke sekolah selama beberapa hari walaupun tanpa kehadiran pelajar.
“Walaupun selepas komuniti itu dipindahkan secara paksa, tentera Israel terus menceroboh sekolah, merosakkan harta benda dan menulis mesej hasutan, termasuk ugutan bunuh,” katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, Israel meningkatkan kempen pengusiran terhadap komuniti Palestin di Tebing Barat dengan mengeluarkan perintah pengusiran terhadap seluruh komuniti Badwi di timur Ramallah serta memperhebat dasar perobohan rumah penduduk di Baitulmaqdis Timur.
Langkah ini berlaku di tengah keganasan pendatang haram Yahudi yang menyasarkan institusi pendidikan di Lembah Jordan dan kediaman penduduk di Qalqilya.
Sebelum ini, Sekolah Shallal al-Auja menampung 140 pelajar daripada peringkat tadika hingga tingkatan sembilan.
Kementerian Pendidikan dan Pendidikan Tinggi Palestin turut menyeru campur tangan antarabangsa bagi memastikan kanak-kanak di sekolah berkenaan menerima sepenuhnya hak mereka.
“Mereka mempunyai hak untuk mendapat pendidikan, sebagaimana termaktub dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak dan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat,” katanya. – utusan











