ribuan penduduk Selatan Thai di Malaysia diajak balik mengundi

Puluhan ribu penduduk Selatan Thai di Malaysia diajak balik mengundi

KUHENG Yawohasan (kanan) berkempen dari rumah ke rumah di Tanyong Mas, Daerah Rangae, Narathiwat, Thailand. – UTUSAN/RAZALI ZAKARIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATHIWAT (THAILAND): Puluhan ribu penduduk Selatan Thai yang mencari rezeki di Malaysia dan layak mengundi diseru pulang menunaikan tanggungjawab itu pada Pilihan Raya Parlimen 2026, Ahad ini.

Calon Parlimen Narathiwat (Kawasan 4), Kuheng Yawohasan berkata, mengikut maklumat, kebanyakan mereka tinggal di negeri-negeri bersempadan dengan Thailand.

Katanya, difahamkan setakat ini tidak sampai 2,000 rakyat Thailand di Malaysia sudah mengundi secara pos pada 23 dan 24 Januari lalu sama ada di Kuala Lumpur atau di Pejabat Konsulat Thailand di Kota Bharu (Kelantan) dan Pulau Pinang.

“Hanya 230 rakyat Thailand yang mengundi secara pos di pejabat konsulat di Kota Bharu, Kelantan. Sedangkan saya percaya terdapat puluhan ribu warga Selatan Thai yang bekerja di negeri itu dan di Terengganu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semasa berkempen dari rumah ke rumah di Tanyong Mas, Daerah Rangae, baru-baru ini.

Kuheng berkata memilih wakil Parlimen untuk bersuara bagi pihak penduduk adalah penting dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat, membina ekonomi yang kukuh dan membangunkan pelbagai sektor.

Katanya, pelepasan hutang pinjaman pelajar, undang-undang pengambilan tanah, masalah dadah dan pembangunan ekonomi tempatan antara perjuangan yang dilakukan beliau bersama Parti Prachachat.

“Kita memberi jaminan menyelesaikan isu pemilikan tanah yang diperkenal ketika kerajaan Prayut Chan-o-cha pada 2014. Kerajaan ketika itu telah sesuka hati mengisytiharkan mana-mana tanah sebagai milik kerajaan. Tidak kira tanah penduduk, pertanian atau tanah masjid sekali pun.

“Sekarang, kami akan berjuang supaya hak tanah itu dikembalikan kepada pemilik asal dengan mengetengahkan undang-undang baharu,” ujarnya. – utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN